Monday, July 23, 2012

Jenayah: Kerajaan BN terlepas pandang

Roketkini.com



Dalam satu jawapan bertulis Parlimen kepada Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera Liew Chin Tong pada tahun lalu, laporan Statistik dari Kementerian Dalam Negeri menunjukkan sehingga bulan Januari 2011, hanya 9,346 pegawai polis daripada 105,929 pegawai polis seluruh negara terlibat dalam penyiasatan kes jenayah.

Ini bermakna, bagi setiap orang anggota polis yang menguruskan kes jenayah, enam anggota yang lain ditugaskan untuk menguruskan kes bukan jenayah.

Rata-rata kalangan masyarakat sivik dan NGO berpendapat, ia merupakan satu fakta yang menyedihkan malah mengejutkan.

Persoalan yang timbul ialah, bagaimana hanya 8 peratus sahaja dari 105,929 anggota polis seluruh negara ditempatkan jabatan siasatan jenayah? Memberi respon kepada statistik kementerian tersebut, Liew berkata, “Tidak hairanlah kalau kita merasa tidak selamat.”

Secara keseluruhannya jika dijumlahkan kesemua jabatan yang berkaitan dengan jenayah, ia merangkumi 14 peratus dari 105,929 anggota polis meliputi bahagian narkotik dan jenayah komersial.
Statistik dibawah akan memberikan gambaran yang lebih jelas apa yang mungkin menjadi penghalang pasukan polis dari membuatkan kita berasa selamat.


Source: Ministry of Home Affairs' written parliamentary reply to MP for Bukit Bendera Liew Chin Tong, Mar 11- April 7, 2011

Menurut Liew, data tersebut dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri sebagai jawapan Parlimen semasa sesi Parlimen Mac hingga April 2011. Akan tetapi menteri berkenaan enggan untuk menjawab persoalan yang hampir sama pada sesi Parlimen baru-baru ini.

Peruntukan besar untuk polis tetapi…

Pada tahun 2010 sebanyak RM4.5 bilion diperuntukkan kepada polis, meningkat kepada RM5.8 bilion pada 2011 dan terus ditambah menjadi RM6.3 bilion pada tahun 2012. Terdapat peningkatan sebanyak RM1.8 bilion atau 40 peratus di antara 2010 dan 2012.

Dari sudut peruntukan kewangan, ia menggambarkan bahawa kerajaan memberi komitmen kepada keselamatan awam dan negara. Persoalan yang timbul ialah, mengapa kerajaan gagal menangani masalah jenayah yang semakin berleluasa di negara ini atau sekurang-kurangnya; kejadian kes jenayah yang berlaku saban hari cukup untuk menggusarkan kita semua.

Jawapan bertulis Parlimen tersebut turut merumuskan bahawa 86 peratus anggota polis terlibat dalam sektor bukan jenayah seperti pengurusan (management), keselamatan dalaman dan ketenteraman awam (internal security and public order), logistik, cawangan khas (special branch) dan tugas-tugas khas (special task force).

Sila rujuk carta di bawah.



Dengan bilangan yang tinggi anggota  polis terlibat dalam sektor bukan jenayah, Liew menimbulkan persoalan adakah ia disebabkan kerajaan begitu obses dengan pengawasan musuh politik mereka dan “mengejar bayang-bayang sendiri” seperti pendedahan ‘cerita mengarut’ berkenaan penyusupan elemen Jemaah Islamiah (JI) dan komunis ke dalam Pakatan Rakyat seperti didakwa oleh Cawangan Khas tempoh hari?

Rakyat diancam jenayah setiap hari

Di mana jua kita berada, adakah kita berasa selamat? Kita sentiasa dihantui dengan kes pecah rumah ketika meninggalkan rumah untuk bercuti, golongan wanita sering sahaja dilaporkan diragut ketika di jalanan, kes kecurian motor juga sering berlaku dimana-mana, kita juga sering diberitakan dengan kes samun bersenjata di tempat awam, ini tidak termasuk dengan jenayah seksual dan penderaan terhadap wanita dan kanak-kanak yang saban hari kedengaran.

Kes pecah rumah bukan sahaja melibatkan rakyat biasa seperti kita tetapi baru-baru ini kita dikejutkan dengan kejadian yang sama berlaku ke atas rumah orang kenamaan mantan Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik sendiri.

Laporan Suruhanjaya Diraja Polis Dzaidin 2005

Pada tahun 2005, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis dipengerusikan oleh Tan Sri Dzaidin telah membuat beberapa cadangan untuk mentransformasikan pasukan Polis di Malaysia kepada lebih efisyen, professional dan bertaraf dunia.

Antara fokus kearah mencapai matlamat ini ialah menurunkan kadar jenayah, membasmi rasuah dan mendukung hak asasi manusia. Adakah objektif ini telah tercapai?

Jenayah yang berlaku di sekeliling kita bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Kajian umum menunjukkan banyak kejadian jenayah berlaku didorong oleh faktor ekonomi dan persekitaran.

Pengangguran dan tekanan hidup merupakan salah satu punca utama berlakunya jenayah. Malah, tekanan hidup sering juga dikaitkan dengan merebaknya gejala mental yang membimbangkan. Semakin pesat dan membangunnya sesebuah negara, semakin ramai kalangan kelompok masyarakat akan tertindas dan ketinggalan sekiranya langkah serius tidak diambil pihak kerajaan.

Dalam pada itu, kerajaan harus mengkaji semula dasar dan penguatkuasaan mereka terhadap beberapa cabang lain seperti isu gaji dan bantuan kebajikan yang tidak setimpal, kebajikan pekerja yang tidak terjamin, masalah kemasukan pendatang tanpa izin yang tinggi dan banyak lagi.

Selain struktur pasukan polis yang tidak seimbang, kejadian jenayah yang semakin membimbangkan ini membawa kita untuk berfikir, apakah ia juga kerana kegagalan pihak kerajaan memperkasa ekonomi rakyat serta melaksanakan polisi dengan telus dan berintegriti? -Roketkini.com

No comments: