Monday, July 23, 2012

JANGAN HISAP DARAH DI BULAN RAMADAN!

SABAH KINI





MARAH…Hj Ikram menjelaskan kepada Sabahkini.Net mengenai masa yang diperuntukan terlalu singkat dan tidak berbaloi dengan harga sewaan RM2,000.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

USAHA Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mewujudkan Bazaar Ramadan pada saban tahun merupakan satu usaha yang baik dan harus disokong oleh semua pihak terutama sekali para penjaja mahupun peniaga-peniaga setempat di daerah Sandakan.

Ini jelas kerana kewujudan bazaar tersebut memberi peluang kepada masyarakat untuk berniaga di sepanjang bulan Ramadan selama 30 hari bagi menjana ekonomi agar dapat menyambut aidil fitri dengan sempurna.
Bazaar ini juga memberikan tarikan kepada para pelancong luar yang berkunjung ke Sandakan untuk menikmati juadah ala masakan Melayu-Malaysia yang sememangnya menjadi kegemaran mereka.

"Jangan hisap darah kami di bulan yang mulia ini. Fleksibellah sikit. Kamipun mahu untung. Jika tidak buat apa berniaga?," ujar salah seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail yang mengejutkan wartawan ketika mula meninjau sekitar Bazaar Ramadan.

Menurut Ismail lagi, sikap 'menindas' dan 'menjajah' MPS sudah sebati dengan jiwa Presiden dan semua pegawai MPS sehingga tidak pernah memikirkan kesengsaraan para peniaga yang bukan sahaja membayar sewa yang mahal tetapi terus dikongkong dengan pelbagai peraturan Ala-Zionis.

Kata Ismail, sebanyak 200 gerai disediakan oleh MPS untuk para penjaja setempat mengambil bahagian berjaja selama sebulan. Gerai di hadapan Milimewa dibuka bermula jam 2.00 petang hingga jam 7.00 malam melibatkan seramai 160 orang penjaja, namun 40 gerai lagi masih kosong.

Seorang lagi penjaja, Abdul Razak Amat yang menjual Murtabak Jawa turut menjelaskan mengenai kedudukan gerai-gerai yang terdapat di situ.

Katanya, gerai di barisan hadapan sekali lebih kurang 80 lot gerai telah dikenakan tender di antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan MPS dan selebihnya 120 gerai yang lainnya dikenakan bayaran sewaan RM85.00 sebulan melalui cabutan undi.

KECEWA…Razak yang menjual Murtabak Jawa turut kecewa dengan senario di Bazar Ramadan.

Sementara seorang penjaja yang dikenali Haji Mohd Ikram Hj Kalbin yang berniaga di lot barisan hadapan menjelaskan bayaran sewaan sebanyak RM2,000 memang agak berat tetapi demi mencuba nasib, mereka terpaksa menanggung kerugian kerana mungkin sudah menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) dan MPS untuk menekan dan menindas rakyat.

“Cuma yang kami kurang puas hati kerana MPS hanya memberi masa kami berniaga selama lima jam iaitu daripada jam 2.00 petang hingga jam 7.00 malam," ujarnya yang mendesak agar tempoh masa berniaga dilanjutkan sehingga jam 12 malam.

Kata Haji Mohd Ikram, masa sesingkat itu tidak berbaloi dengan harga sewaan sebanyak RM2,000 sebulan menyebabkan mereka kerugian besar disebabkan jualan mereka tidak habis.

"Hakikatnya jam 7 malam barulah pelancung luar baru hendak datang membeli juadah untuk makan malam. Ketika itu kami terpaksa tutup bagi mengelak dihalau MPS. Jika tidak barang kami akan dirampas," ujar Haji Mohamad Ikram lagi dengan nada kesal.

Manakala seorang pengunjung yang sempat ditemuramah tetapi enggan digambar, Asmat meminta pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) agar turun padang untuk menyiasat kes sewaan gerai Bazaar Ramadan yang membebankan para peniaga.

No comments: