Tuesday, July 24, 2012

Isu pokok: Integriti SYABAS dan kerajaan persekutuan yang dipertikai



Kerajaan negeri Selangor dan SYABAS berbeza pandangan dalam isu sama ada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal menghadapi krisis air.  Masalah pokok adalah integriti, keupayaan dan kebertanggungjawaban SYABAS dan kerajaan persekutuan yang dipertikai, lantas statistik yang dikemukakan juga diragui.  Wakil rakyat Pakatan Rakyat yang memperjuangkan isu air meminta agar NGO antarabangsa diundang untuk mengaudit perangkaan SYABAS, agar kesahihannya dikenalpasti.

Keadaannya begini, SYABAS dan kerajaan persekutuan dengan tegas mendakwa bahawa krisis air akan berlaku di Selangor, maka Loji Rawatan Air Langat 2 perlu dibina.  Namun kerajaan negeri Selangor mempertikaikan kesahihan hujah ini, malah khuatir bahawa setelah projek bernilai RM3.94 bilion ini dilaksanakan, tarif air akan melonjak 70%.  Oleh itu, kerajaan negeri enggan meluluskan projek ini.

Perangkaan yang dipetik SYABAS dan kerajaan persekutuan berasal dari laporan Kajian Sumber Air Negara bagi Semenanjung Malaysia yang disiapkan Unit Perancangan Ekonomi pada tahun 2000.  Laporan tersebut mendakwa bahawa negeri Selangor akan mengalami krisis air pada tahun 2012, 2013 dan 2014, jadi ia perlu menyalurkan air ke Selangor dari negeri Pahang, dan dibina Loji Rawatan Air Langat 2 untuk merawat air mentah.

Namun demikian, The Coalition For Sustainable Water Management pada April 2009 telah mempertikai kesahihan laporan Kajian Sumber Air Negara bagi Semenanjung Malaysia, seterusnya mempertikaikan keperluan penyaluran air melangkaui sempadan negeri.  Pada masa yang sama, gabungan ini meminta agar laporan ini mengkaji semula angka keperluan air dan pertambahan populasi.

Kerajaan persekutuan tidak membalas permintaan gabungan tersebut, bertegas untuk meluluskan projek Loji Rawatan Air Langat 2, malah mendesak agar kerajaan negeri Selangor memberi lampu hijau kepada projek ini sebelum akhir tahun ini, atau negeri Selangor akan berdepan dengan krisis air.  Baru-baru ini, SYABAS yang dikuasai Puncak Niaga - syarikat yang rapat dengan UMNO-Barisan Nasional telah mendakwa bahawa ada perlunya untuk melaksanakan catuan air di Kuala Lumpur, Ulu Langat dan Klang, memperlihatkan semakin kuatnya tindakan desakan dari kerajaan persekutuan.

Tindakan SYABAS mengumumkan keperluan catuan air sebelum mendapat kelulusan SPAN telah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.  Kerajaan negeri Selangor dan pemimpin Pakatan Rakyat melihat ia sebagai taktik untuk mengugut agar kerajaan negeri Selangor meluluskan Loji Rawatan Air Langat 2.

Mengundang NGO antarabangsa

Ketika dihubungi MerdekaReview, ahli parlimen Klang Charles Santiago yang memperjuangkan isu air sepanjang ini berkata, masalah yang terpampang di depan mata sekarang adalah, statistik keperluan air dan bekalan kesemuanya datang dari SYABAS.  Tiada orang yang mengetahui kesahihannya.

Charles Santiago (gambar kanan) berpendapat, seharusnya pihak ketiga yang berkecuali seperti International Water Association atau Netherland National Water Company hadir ke loji rawatan air SYABAS untuk mengkaji, agar memperolehi statistik yang paling jitu.  "Jika tidak, apa yang didengar, termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, setiap orang adalah statistik (yang dibekalkan) SYABAS.  Oleh kerana mereka mahu memburuk-burukkan kerajaan negeri Selangor, mereka mungkin mereka angka palsu."

Ketika ditanya sama ada Selangor perlu membina Loji Rawatan Air Langat 2, Charles Santiago secara terus-terang berkata, ia bergantung sama ada keperluan telah meningkat.  Beliau menganggap, SYABAS sengaja mereka "krisis" kerana kerajaan Selangor enggan memperuntukkan tanah untuk pembinaan loji.  Untuk Charles, penyelesaian yang lebih baik adalah mempertingkatkan sistem rawatan air yang sedia ada, untuk merawat lebih banyak air.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) Piarapakaran S pula menganggap kerajaan negeri Selangor seharusnya mempertimbangkan untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2, kerana ia akan membekalkan sumber air yang mencukupi untuk Selangor, maka tidak perlu bimbang masalah kekurangan bekalan air, dan ada baki untuk mengurangkan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water-NRW).

Piarapakaran S (gambar kiri) berkata kepada MerdekaReview, menurut kajian persatuannya, seandainya keperluan air Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya) bertambah dengan kadar 2% hingga 2.5%, maka kemungkinan besar Selangor akan mengalami krisis air pada tahun 2014.  Mengurangkan Air Tidak Terhasil tidak membawa kesan dalam jangka pendek.  Oleh itu, untuk mengelakkan keadaan di mana keperluan melebihi pembekalan, maka kerajaan negeri seharusnya bersetuju untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2.

Namun demikian, Charles Santiago berkata, adalah mustahil untuk AWER memiliki statistik dirinya.  Maka perangkaannya datang dari SYABAS, dan dengan itu ia berdepan dengan persoalan sama ada angka itu sahih atau tidak. (Bahagian pertama, bersambung)


*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview, Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 19 Julai 2012.

No comments: