Ahmad Lutfi Othman, |
Saya masih bercuti sakit. Di samping berazam untuk mengimarah Ramadan penuh keberkatan setulusnya, masa terluang cuba dimanfaatkan dengan menelaah buku dan kitab yang jarang dapat "dikunyah" semasa terikat dengan tugasan pejabat.
Meskipun sebahagian karya-karya besar itu sering diulang, apatah lagi tafsir al-Quran, kenikmatannya makin berganda. Alhamdulillah, dari jauh, ada juga rakan yang bukan hanya turut mengingatkan agar tadarus al-Quran jangan ditinggalkan, malah seperti mahu "berlumba" berapa kali dapat khatam sepanjang bulan puasa ini.
Lama berada di rumah juga memungkinkan saya untuk menonton dan meneliti pelbagai siaran serta program televisyen. Saya terkesan dengan begitu banyak iklan mengenai propaganda BN, termasuk berkaitan "Bersih yang kotor", yang diulangsiar di waktu puncak, tidak terkecuali dalam siaran berita jam lapan malam. (Tidak pasti sama dakyah itu akan dihentikan selepas mahkamah mengisytihar Bersih sebuah pertubuhan yang sah).
Iklan kempen Janji Ditepati BN, dengan pelbagai "pengisian menarik", merangkumi kemajmukan sasaran pengundi termasuk di Sabah dan Sarawak, mendapat tempat pada slot utama. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TV3, yang mahir dalam "penjenamaan", dipinjamkan ke Pejabat Perdana Menteri, khususnya untuk melancarkan propaganda tersebut, bukan sahaja melalui TV tetapi juga jelajah ke seluruh negara. Ya, dari segi propaganda murahan, TV3 sama saja dengan RTM!
Di bawah pentadbiran Najib Razak, begitu ramai penasihat media yang dikumpul (dan cukup banyak dana awam yang dihanguskan) untuk membantu Umno-BN melancarkan kempen awal dan perang saraf menghadapi "ibu segala pilihan raya" ini. Saya pasti tenaga pakar dari luar negara turut diupah bagi menjalankan misi yang sama. Wang tidak pernah menjadi masalah untuk dibazirkan elit penguasa asalkan matlamat tercapai.
Sudah pasti airtime yang mempromosi "kempen pilihan raya", yang dipakej secara profesional itu, tidak dibayar pun oleh BN. Malah elit Umno akan menafikan sekeras-kerasnya tanggapan bahawa slot TV dieksploitasi dengan licik untuk kepentingan politik mereka. (Selama ini, setiap kali menjelang pilihan raya, BN membolot segenap ruang untuk mempromosi dirinya dan mengecam pihak lawan. Iklan berbayar oposisi juga tidak akan dilayan).
Pemimpin Umno akan mempertahankan kempen itu adalah untuk mempromosi dasar dan program kerajaan membantu rakyat jelata. Walhal, lama sebelum Parlimen dibubarkan, Umno secara terangan menggunakan wang pembayar cukai untuk berkempen secara halus, selain menutup ruang dan peluang untuk saingannya, Pakatan Rakyat bersemuka secara mudah dan cepat dengan pengundi.
Selain kempen Janji Ditepati, mutakhir ini, saya perhatikan satu lagi iklan BN yang tersembunyi, yang menampilkan agak ramai personaliti popular, antaranya seperti penyanyi Siti Nurhaliza, pelakon Lisa Surihani, pengulas sukan Hasbullah Awang, Angkasawan Negara Dr Faiz Khaleed, peserta MasterChef Selibriti Malaysia Soo Winci, penyanyi Aizat dan Reshmonu (dan yang paling ditonjolkan ialah Dr Mahathir Mohamad, muncul di awal dan penutup iklan) dengan tagline "saya pilih perpaduan, saya pilih keamanan, saya pilih kestabilan, ... saya pilih mengundi, saya pilih Malaysia".
Frasa "perpaduan, kestabilan" dan seumpamanya sering tidak dapat dipisahkan daripada slogan lapuk BN bagi mempengaruhi pengundi agar terus menyokong gabungan parti itu. Walaupun masih belum jelas motif iklan itu, namun saya percaya akhirnya ia akan menjurus kepada kepentingan sempit BN.
Belanjanya juga tentulah besar. Selain disiarkan TV pada waktu puncak, ia turut muncul dalam semua akhbar harian. Warna temanya adalah biru dan putih. Ya, sudah tentu itulah juga paparan lambang BN.
Sewaktu kerajaan cuba mempamerkan imej lebih terbuka, dengan cadangan untuk membenarkan setiap parti mengemukakan manifesto melalui televisyen ketika kempen PRU13 nanti, wajah hodoh BN tidak dapat diselindung. Mereka mahu membolot segalanya demi survival kuasa.
(Petang Jumaat lalu, bekas Menteri Penerangan, Abd Kadir Sheikh Fadzir menelefon saya, berkaitan kenyataannya yang membidas tema perayaan hari merdeka, 55 Tahun Janji Ditepati, yang disifatkannya sebagai kempen pilihan raya BN: "Ia begitu terang dan terbuka tanpa sorok-sorok. Ia tidak peduli sama sekali dengan perasaan pihak rakyat keseluruhannya. Ia seakan-akan perayaan kemerdekaan juga telah menjadi hak BN." Sempat beliau mengusik saya: "Elok waktu rehat selepas kena strok ini, jangan tengok RTM1 atau TV3, lagi stress, lebih baik tengok filem komedi P Ramlee, seperti koleksi Labu Labi atau Bujang Lapok!")
Dalam Buletin TV3 malam 24 Julai, begitu ketara sekali Koordinator BN Selangor, yang juga Setiausaha Perhubungan Umno Negeri, Mohd Zin Mohamed, dnegan baju biru berlambangkan BN, mengagihkan kotak berisi kurma kepada penumpang di stesen komuter Shah Alam.
Zin merupakan Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), yang menimbulkan kontroversi apabila stesen dan gerabak sistem keretapi komuter di Lembah Klang memasang iklan "Sayangi Selangor".
Laporan Malaysiakini sebelum ini menyebut, kempen "Sayangi Selangor" itu antara lainnya melibatkan iklan yang mempromosikan Perdana Menteri Najib Razak dengan slogan "Kami mendengar masalah anda tentang kos sara hidup." Iklan berkenaan mula dikesan pada bulan ini selepas kempen memasang bendera BN di stesen komuter mencetuskan kontroversi pada April lalu.
Segera saya teringat, laporan berita TV yang saya tonton tidak lama dahulu, yang memaparkan Zin, juga dengan simbol-simbol BN, dalam satu majlis di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, menyerahkan pendahuluan bayaran PTPTN kepada mahasiswa anak Selangor. Ya, segalanya diperalatkan untuk berkempen merebut kembali Selangor daripada Pakatan!
Nampak sangat Umno cukup terdesak untuk merampas negeri termaju ini. Parti itu rela terlepas beberapa negeri lain, asalkan dapat menawan semula Selangor. Di bawah teraju Najib sendiri, rancangan rapi diatur, termasuk memperalatkan sepenuhnya isu air, melalui syarikat yang dikuasai kroninya, Syabas.
Manipulasi senarai daftar pemilih "yang cukup meragukan" di Selangor rupanya tidak memadai. Persepsi rakyat mahu dikelirukan, bagi menggambarkan segalanya kelam-kabut dan tidak terurus di Selangor.
Secara peribadi, sepuluh tahun dahulu, saya pernah membangkitkan dan melaporkan isu salahguna kuasa dan korupsi berkaitan projek membekal dan memasang paip air di Selangor kepada Badan Pencegah Rasuah (sekarang SPRM).
Projek sejauh 37km, dari Empangan Semenyih ke Banting itu bernilai hampir RM83 juta. Melalui seorang kontraktor berpengalaman, yang mendedahkan hal berkenaan kepada saya, kos tersebut cukup tinggi, dan dakwanya, ia meningkat dua kali ganda daripada harga sepatutnya. Masakan ia berlaku begitu sahaja tanpa elemen rasuah yang cukup popular dengan imej Menteri Besar Selangor ketika itu.
Saya tidak begitu mengikuti perjalanan "krisis air" yang sengaja dicipta Syabas dan didalangi Umno mutakhir ini, namun ia sudah cukup untuk mengambarkan bagaimana suku-sakat Umno akan menggunakan peluang atas nama projek kemudahan rakyat bagi memperkayakan diri dan kerabat.
Kekayaan Selangor adalah lubuk mewah buat elit parti itu mengagih-agihkan khazanah negeri sesama sendiri. Saya yakin, riuh-rendah isu Loji Langat 2 juga tidak terlepas daripada pertimbangan sama, antaranya sebagai saluran dana politik BN. Rakyat juga akan dibebankan dengan kenaikan tarif air nanti.
Sebenarnya penswastaan industri air Selangor bermula dengan langkah yang salah. Tony Pua pernah menulis, pada tahun 1980-an, Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS) merupakan entiti kerajaan yang menjana keuntungan antara RM50 juta dan RM80 juta. Pada 1997, keputusan dibuat untuk menswastakannya dengan tujuan "meningkatkan kecekapan"; tetapi hanya segmen yang untung dalam kegiatan industri air, iaitu khidmat rawatan air, yang diswastakan.
Begitulah selalunya, sektor yang untung diswastakan dan membiarkan kerugian ditanggung kerajaan. Di Selangor, konsesi diberikan kepada syarikat swasta yang mempunyai kaitan politik yang baik meskipun tanpa kemahiran dan pengalaman dalam industri air, juga tidak memiliki dana ekuiti untuk menjalankan perniagaan. Hasilnya penduduk Lembah Klang terpaksa membayar harga tinggi untuk khidmat berkualiti rendah.
Di samping itu, kos pengurusan tertingginya juga begitu lumayan, terutama elaun Pengerusi Eksekutifnya, Rozali Ismail, sebanyak RM5.7 juta setahun, menurut laporan tahunan syarikat itu empat tahun lalu. (Mungkin elaun itu semakin meningkat dari tahun ke tahun?)
Bayangkan Rozali senang-lenang menikmati gaya hidup supermewah sedangkan Syabas gagal melaksanakan tugasnya, seperti terserlah apabila Selangor mempunyai kadar air tak berhasil (NRW) paling tinggi di Malaysia.
Menurut Tony Pua, Rozali adalah antara 10 pengarah yang mendapat bayaran tertinggi di Malaysia. Ini berlaku kerana operasi beliau dalam persekitaran yang ditetapkan dengan risiko minimum serta pasaran yang berdepan persaingan minimum. Merujuk Malaysia Business, Rozali merupakan orang ke-33 terkaya di Malaysia, selepas berjaya mendapatkan penswastaan air di Selangor.
Tidak cukup dengan itu, Syabas telah melanggar banyak kontrak dalam perjanjian konsesinya, tanpa dikenakan hukuman. Ini termasuk lebih daripada 72 peratus kontrak bernilai RM600 juta diberikan kepada syarikat yang dipilih secara runding terus, yang jelas melanggar konsensi. Mungkin aduan SPRM yang pernah saya buat dulu boleh dikategorikan dalam skop ini.
Syabas juga melanggar konsesi dengan mengimport paip dari Indonesia bernilai RM375 juta dan tidak menggunakan pembekal tempatan; begitu juga belanja RM51.2 juta ubah-suai pejabat Syabas berbanding kelulusan RM23.2 juta pada 2005.
Sepatutnya perjanjian konsesi itu boleh dibatalkan, berdasarkan perlanggaran ketara yang ditemukan oleh Jabatan Audit Negara sejak November 2008 lagi. Soalnya mengapa hanya pemegang konsesi yang diutamakan sedangkan rakyat terus menanggung kerugian?
Segalanya atas motif keuntungan yang mahu dikaut melalui korni dan kepentingan-dendam politik untuk menawan Selangor! Saya amat bersetuju dengan rumusan Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli bahawa Syabas berusaha untuk mencipta satu krisis air dalam tindakan terdesak untuk membantu Umno merampas semula Selangor dalam PRU13.
Kenyataan Menteri Besar, Abd Khalid Ibrahim tentunya lebih meyakinkan: "Kerajaan Selangor konsisten dengan pendirian bahawa isu air ini boleh diselesaikan secara holistik sekiranya kerajaan negeri mengambilalih industri air daripada syarikat-syarikat konsesi yang akan menawarkan pembekalan air yang lebih cekap pada harga munasabah."
Saya kira, akhirnya, seperti juga banyak isu-isu yang sengaja dicipta tukang strategis Umno lainnya, "krisis air" ini akan menikam balik BN dan menyebabkan Najib berputih mata lagi ...
No comments:
Post a Comment