Wednesday, July 25, 2012

Bersih 2.0: AMK mahu PM, Hishammuddin minta maaf

NAJWAN HALIMI

ANGKATAN Muda KEADILAN (AMK) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Berish 2.0) adalah sebuah pertubuhan 'haram'.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Rohana Yusof menyatakan bahawa Bersih telah berjaya membuktikan kesnya dalam mencabar pengisytiharan kerajaan bahawa ia sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Pada 1 Julai 2011, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dan Pendaftar Pertubuhan telah mengisytiharkan Bersih sebagai gerakan haram.

Susulan dari itu, pihak berkuasa telah menjalankan pelbagai operasi dengan menahan individu yang dipercayai penggerak/penyokong Bersih dan merampas objek berkaitan Bersih seperti baju-T.

Tindakan ini dipercayai bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat daripada terlibat menyokong Bersih.

Maka berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, AMK menuntut Perdana Menteri Najib Razak serta Menteri Dalam Negeri supaya tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya penggerak serta ratusan ribu penyokong Bersih yang telah dianiaya dan dilayan secara tidak adil oleh pihak berkuasa susulan pengumuman pengharaman oleh pihak Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lalu.

Sekiranya kedua-dua mereka menghormati undang-undang serta Perlembagaan negara, maka tindakan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat adalah sesuatu yang wajar dan sangat dialu-alukan.

Jika di negara-negara maju dan bertamadun, pemimpin yang melakukan kesilapan terhadap rakyat akan tampil memohon maaf secara terbuka bahkan ada yang meletakkan jawatan demi menjaga integriti serta reputasi kerajaan dan imej negara.

Justeru, selaras dengan retorik Najib yang mahu menjadikan Malaysia sebagai contoh 'demokrasi terbaik dunia', maka adalah wajar untuk beliau dan Hishammuddin menunjukkan sikap mulia dengan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan tidak mengambil tindakan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini.

Jika kedua-duanya demokrat sejati, maka tunjukkanlah contoh dan sikap sebagai seorang demokrat - hormatilah undang-undang dan hak rakyat.

Najwan Halimi, Timbalan Ketua Penerangan AMK

No comments: