Salmah Mat Husain, |
Artis Hayati Hamzah atau Yatt Hamzah (gambar) ketika dihubungi memberitahu, walaupun mereka telah berhijrah khususnya artis wanita dengan menutup aurat, namun kelas-kelas agama dan usrah perlu dihadiri untuk mempertingkatkan ilmu dan iman masing-masing.
Menurutnya, andainya dahulu hanya lima orang sahaja artis yang sudi menghadiri kelas usrah, bagaimanapun kini telah meningkat lebih 30 orang pada satu-satu masa.
“Antaranya yang bersama kami Enot, Irma Hashime dan lain-lain lagi,” ujarnya ketika dihubungi sebentar tadi.
Beliau bagaimanapun memberitahu, kelas usrah sepanjang Ramadhan ini terpaksa ditiadakan memandangkan para ustaz yang mengendalikan program itu kesuntukan masa.
“Kelas usrah kami diadakan pada waktu malam, bayangkanlah andainya waktu malam usrah diadakan, pukul berapa ianya harus bermula memandangkan solat sunat terawih juga siap agak lewat.
“Ustaz yang membimbing kami juga ada di antara mereka memenuhi jemputan sebagai pengkuliah di luar Kuala Lumpur,” ujarnya.
Yatt Hamzah yang juga seorang pelakon pernah diundang oleh kerajaan Kelantan untuk memenuhi program Bicara Selebriti ke-5 sempena Hari Hiburan Islam (Hai) 12 Julai lalu.
Selain Yatt, blogger Saifulislam.com, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, artis Indonesia, Kholidi Masadil Alam dan Ana Rafali dijemput sebagai panel menjayakan program itu.
Untuk itu, katanya anggota usrah berkenaan menunaikan solat sunat terawih di beberapa tempat yang sesuai khususnya di tempat yang berhampiran kediaman masing-masing.
“Tapi kalau Yatt, Yatt lebih selesa di Masjid Wilayah, kat sini imam dari Mekah dan Madinah menjadi imam solat,” ujarnya.
Bersesuaian dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini, beliau akan mengambil kesempatan sebaik mungkin untuk ke arah yang lebih baik, khususnya sentiasa istiqamah dengan penghijrahan itu.
Antara mereka yang memainkan peranan penting sebagai naqib pada program usrah sekali seminggu itu, Ustaz Rusdi Ramli, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Ghazali Ibrahim dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment