Monday, July 23, 2012

Artis perlu ‘berjihad seni’ jatuhkan BN



Oleh RUHI HAYATI THANI
 
PADA September ini akan ditayangkan sebuah filem mengenai kesakitan yang dideritai oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein menjelang tempoh akhir pemerintahannya. Turut disebutkan perihal kesakitan yang dialami oleh pembantunya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Tetapi, kedua-dua mereka dengan bijaknya menutup kelemahan diri. Tiada yang mengetahui hal kesakitan kedua-dua mereka itu.

Jelas kepada kita, walaupun Tun Abdul Razak meninggal dunia oleh kesakitannya tetapi kisahnya masih diabadikan dalam bentuk lakon layar.

Dengan cara ini, sama ada filem itu benar-benar mencerminkan usaha Tun Abdul Razak atau pun tidak, maka kesan baiknya tetap tercurah kepada anaknya, PM Najib Razak.

Demikianlah bagaimana Najib mempelbagaikan jalur warna kebaikan ke atas diri. Beliau tidaklah hanya mengguna berita propaganda, malah filem turut berkempen secara tersirat. Seolahnya, Najib memperalat kisah ayahnya bagi meletak dirinya bagai perwira.

Itulah cerita mengenai bagaimana Najib berkempen untuk meletakkan dirinya ke dalam hati dan jiwa setiap ahli masyarakatnya dalam pelbagai bentuk, kaedah dan cara.

Dan baru-baru ini pula Najib turun berkempen di KLCC. Beliau meletakkan dirinya yang menjadi watak penyatu segala bangsa di Malaysia.

Seruan yang digunakan adalah IM4U. Begitu kental jiwa Najib ke atas bahasa penjajah. Tiada badanbadan bahasa dan persuratan yang berani tampil melaungkan 'jihad bahasa', bertujuan mengembalikan Najib ke jalan kebahasaan kebangsaan yang sebenar.

Badan-badan persuratan ini mungkin masih hidup dibuai leka ke atas perkara lain. Maka, menjadi tanggungjawab kalangan rakyat yang sedar untuk menegur Najib.

Suara-suara keras badan persuratan sudah tenggelam kritik mereka ke atas Najib. Entah mereka mungkin sudah pun dibeli dan jadi takut-takut, kalau peruntukan itu ditarik balik seandainya dilemparkan teguran keras berhubung kepenggunaan bahasa oleh Najib itu.

Dalam menempuh zaman-zaman terakhir Najib ini, kita mesti menyedari, bahawa saluran teguran terhadap beliau kali ini mestilah hadir dalam bentuk pelbagai jua.

Kita tidak boleh lagi menjadi setia bermodalkan cuma satu-satunya jalan kritikan seperti ceramah- ceramah politik itu. Kita kena pelbagaikan corak teguran ke atas Najib kali ini.

Jika Najib menggunakan filem biografi ayahnya yang bertajuk; 'Tanda Putera' sebagai alat untuk meneruskan kekejamannya dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta akta drakonian lain, maka rakyat perlu menggunakan kaedah yang lebih kurang sama juga.

Inilah yang perlu kita bahaskan sekarang dengan lebih teliti. Adakah Pakatan Rakyat ini sudah bersedia membangunkan kritikan serta teguran menggunakan jalur budaya, teknik perfileman dan lain-lain kegiatan kesenian? Dahulu kita berasakan betapa sukarnya hendak terbitkan filemfilem pencerahan dengan sebab ketiadaan barisan pelakon, artis selebriti yang mahu menyertai Pakatan Rakyat.

Tetapi, hari ini keadaan sudah jauh berubah. Sudah ramai barisan pelakon, penyanyi, artis selebriti yang menceburi dunia politik kepartian atas nama kebaikan.

Amat malang jika segala bakat lakonan mereka terabadi begitu saja selepas mereka telah menemui jalan pulang ke pangkuan Pakatan Rakyat. Kita mestilah memberi jalan keluar ke atas artis ini untuk menegur pentadbiran Najib melalui kegiatan kesenian.

Artis yang telah menyampah benar dengan Najib berhak melontarkan teguran dan kritikan ke atas BN lewat jalan-jalan kesenian juga. Pelakon Hairie Othman serta rakan-rakannya masih boleh berlakon untuk menyindir Najib dan mereka boleh mendapat wang dengan jalan kesenian, kebudayaan dan lakonan.

Teknik menyampaikan teguran terhadap Najib tidak boleh disamakan antara para pelakon, penyanyi yang sudah berbondongbondong masuk PAS itu dengan orang biasa.

Orang awam ini tiada dikurniakan bakat istimewa itu, tetapi insan seni ini sudah pun dikurniakan seni lakon, seni suara untuk mengejar kebaikan. Maka, janganlah dipadam, dipendamkan bakat seni lakonan untuk mengkritik kejahatan Najib dan BN itu.

Inilah cabaran dan jihad paling besar bagi para artis dan selebriti itu. Tidak perlu semua mereka melantun kritik ke atas Najib di atas pentas ceramah. Sebaliknya, mereka juga boleh melancarkan perang bertindak lewat jalan kebudayaan dan kesenian.

Berjuanglah seperti Najib akan dijatuhkan esok hari, bekerjalah merawat kecederaan Pakatan Rakyat seolah-olah gabungan parti ini akan memerintah untuk 1,000 tahun lagi.

No comments: