Wednesday, July 25, 2012

58 pelajar Malaysia di Syria dipindah ke Beirut

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Sekumpulan 58 pelajar Malaysia di Syria, negara yang menyaksikan pergolakan yang semakin meruncing, dijangka dipindahkan ke Beirut, Lubnan esok melalui jalan darat dan seterusnya berlepas ke Malaysia melalui penerbangan komersil pada hari sama.

Kementerian Luar berkata, ini kerana Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik tidak dapat memperoleh tiket penerbangan dari Damsyik ke Dubai untuk kumpulan pelajar itu.

"Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik dan Beirut sedang menguruskan urusan penerbangan pelajar-pelajar itu," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan membuat keputusan membawa pulang pelajar dan ekspatriat warga Malaysia di Syria dengan serta merta berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara Timur Tengah itu.

Selain itu, kerajaan mengambil keputusan menutup kedutaan Malaysia di Syria atas sebab keselamatan.

Kumpulan pertama pelajar Malaysia seramai tujuh orang akan tiba di tanah air seperti dijadualkan esok.

Kumpulan kedua seramai 43 pelajar pula akan dipindahkan dari Damsyik pada 5.45 petang waktu tempatan esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2.55 petang Khamis melalui penerbangan Emirates EK346.

"Terdapat tambahan 10 pelajar berbanding jumlah terdahulu seramai 33 orang dalam kumpulan ini," menurut kenyataan itu. - Bernama

No comments: