Wednesday, February 22, 2012

Himpunan Hijau 2.0 tetap diteruskan 26 Feb

Aziz Muda,

KUALA LUMPUR- Perhimpunan aman Himpunan Hijau 2.0 yang dirancang akan diadakan pada 26 Februari ini tetap akan diteruskan pada hari yang sama, Ahad, di Kuantan, Pahang, mulai jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, tanpa mengira permainan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sekiranya perhimpunan itu tidak dapat diadakan di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berhadapan Masjid Sultan Ahmad Shah seperti yang dirancang, ia akan diadakan di sekeliling medan MPK.

Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0, Tack Wong berkata, pihaknya bersama lain-lain NGO yang terbabit dalam penentangan pembangunan loji Lynas di Gebeng, Kuantan, tidak akan berundur dari mengadakan perhimpunan itu walaupun ditentang dengan pelbagai cara oleh pelbagai pihak.

Menurutnya, perhimpunan tersebut tidak boleh dihalang untuk diadakan kerana ia adalah kehendak rakyat bagi menyatakan pandangan mereka mengenai pembangunan projek Lynas.

Katanya, pihaknya amat kesal dan terkejut dengan tindakan MPK kerana telah menolak permohonannya untuk mengadakan perhimpunan itu menerusi sepucuk surat pada 20 Februari lalu.

"Surat MPK itu tidak memberi apa-apa sebab-sebab tertentu bagi penolakan itu kecuali hanyalah untuk memeningkan kepala kami, dengan meminta AJK Himpunan Hijau 2.0 mendapatkan surat sokongan/permit dari PDRM terlebih dahulu sebelum permohonan kami itu dipertimbangkan," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Keputusan MPK itu, menurutnya, bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang sebelum ini yang berjanji untuk membenarkan perhimpunan itu diadakan.

Katanya, dalam kenyataannya, Perdana Menteri berkata, perhimpunan tersebut hanya mensasarkan penyertaan 20,000 orang sahaja dan ia tidak akan memberikan kesan buruk kepada Umno BN, malah jika Umno BN mengadakan perhimpunan seperti itu, ia boleh menarik penyertaan yang jauh lebih besar daripada jumlah itu.

"Dengan keputusan itu, kewibawaan Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang kini jelas dicabar oleh pihak MPK sehingga menyebabkan pelbagai pihak bertanya, siapakah yang lebih berkuasa dalam menentukan hak untuk menggunakan medan MPK, adakah Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob atau Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang?" katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri dituntut menunaikan janjinya berhubung perkara itu selarasnya slogan politiknya "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Sekiranya kelulusan tidak juga diperolehi, pihaknya yakin kemarahan rakyat terhadap pihak Umno BN akan lebih meningkat dan orang ramai yang akan turun menyertai perhimpunan itu nanti bukannya akan berkurangan, malah akan menjadi lebih besar berbanding hanya 20,000 orang seperti yang disasarkan pada peringkat awalnya.

Katanya, Keadaan itu samalah seperti yang terjadi ke atas perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu yang disertai ratusan ribu peserta dari seluruh negara walaupun dihalang oleh pihak pemerintah.

Begitu juga dengan perhimpunan Hindraf pada tahun 2007 lalu, tambahnya, sehingga jumlah yang hadir jauh lebih besar dari jangkaan pihak penganjur sendiri.

"Oleh itu, kami menyeru setiap rakyat Malaysia yang prihatin yang merancang untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0 untuk hadir beramai-ramai ke perhimpunan itu nanti dengan menjemput seorang rakan bersama," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat yang juga penasihat Badan Bertindak Anti Rare Earth (Badar), Zulkefly Mohamad Omar, AJK Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Abu Samah Jamal dan beberapa orang AJK Himpunan Hijau 2.0.

8 comments:

Anak Sabah said...

Logi Lynas tidak patut dilaksanakan kerana akan menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

Anak Sabah said...

Harap kerajaan akan mempertimbangkan semula cadangan untuk meluluskan Lynas.

Anonymous said...

bukankah penjelasan telah diberikan yang projek lynas adalah selamat.

TuhauBam said...

sekiranya boleh menjejeskan alam sekitar rasanya kerajaan patut fikir banyak kali sebelum teruskan projek.

Anonymous said...

kenapa tidak buat perhimpunan hijau 2.0 di selangor? yang mana terdapat skandal pasir besar2an di negeri itu yang didalangi oleh pemimpin2 PKR/PR..

Unknown said...

Sebanarnya jika kita lihat Lynas ini bagus untuk membantu masalah eletrik di Negara kita ini. Namun bantahan yang dibuat ini perlulah diselesaikan. Penjelasan yang lebih terperinci diperlukan bagi memastikan tidak ada bantahan sebegini dilakukan lagi.

Anonymous said...

Berhenti daripada mengelirukan rakyat dan beritahu maklumat yang sebenar.

Anonymous said...

Utamakan keselamatan dan kesihatan rakyat serta lindungi alam sekitar.