Bila pilihan raya?…. adalah antara soalan paling banyak ditanyakan kawan dan keluarga bila bertemu pada hari raya kali ini. Mereka bertanya demikian kerana percaya wartawan mempunyai keistimewaan dari segi maklumat. Lebih sensasi jawapan yang diberi, lebih menarik cerita yang akan mereka ceritakan mengenai suasana politik setempat dan tanah air. Mendengar cerita mereka memberi gambaran bahawa minat politik rakyat adalah tinggi. Sedikit sebanyak mereka mengikuti perkembangan politik tanah air. Berita politik di Putrajaya, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan sampai ke telinga mereka.
Mereka sedar mengenai kesan perpecahan yang melanda rakyat Malaysia. Mereka tahu mengenai sikap bangsa mereka yang menerima apa juga pandangan politik, walaupun jelas merugikan bangsa, negara dan agama mereka. Mereka tahu kekuatan dan kelemahan parti politik sama dalam Barisan Nasional (BN) atau pembangkang. Mereka bimbang terhadap pendirian politik tidak rasional yang melanda bangsa Malaysia. Politik tidak rasional adalah sikap menyokong apa saja kenyataan, pendirian dan keputusan politik walaupun ia bertentangan dengan nilai sosial, budaya dan agama. Oleh itu, persoalan ‘bila pilihan raya’ menjadi sesuatu yang mereka nanti-nantikan, mungkin untuk menamatkan episod politik yang bercelaru ini. Disebabkan ini adalah pilihan raya umum pertama untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ia sangat dinanti-nantikan.
Bukan saja orang kampung, malah, menteri Kabinet juga bertanya kepada wartawan mengenai ramalan tarikh pilihan raya. Dalam banyak hal lain, wartawan lah yang sering bertanya kepada menteri untuk mendapatkan bahan berita, tetapi dalam soal tarikh pilihan raya, menteri pula bertanya kepada wartawan. Mereka bertanya sekadar untuk menguji maklumat politik seseorang wartawan atau mereka benar-benar ingin tahu maklumat tambahan yang mungkin ada pada wartawan. Mereka tahu wartawan mempunyai akses kepada sumber yang lebih tinggi daripada mereka – perdana menteri.
Sebenarnya, menteri tahu hanya perdana menteri saja yang mempunyai jawapan muktamad mengenai tarikh pilihan raya. Ini diikuti timbalan perdana menteri yang mungkin diajak berbincang untuk mendapatkan pandangan kedua dalam menentukan tarikh pilihan raya. Oleh itu, mereka mungkin cuba mencungkil rahsia sekiranya perdana menteri atau timbalannya ada memberi gambaran mengenai pilihan raya kepada wartawan. Sebenarnya, wartawan pun faham, sekiranya perdana menteri mahu memaklumkan tarikh pilihan raya, sudah tentulah beliau memberitahu pemimpin parti dan Kabinet terlebih dulu. Selepas segala urusan mengenainya selesai, termasuk menentukan tarikh dan peraturan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dipenuhi, barulah media dimaklumkan mengenainya, khasnya untuk tujuan hebahan.
Hubungan perdana menteri dengan wartawan khasnya berhubung soalan yang diajukan kepadanya mengenai tarikh sesuatu pilihan raya, bukanlah perkara baru. Sejak pentadbiran Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga Datuk Seri Najib Razak, keadaannya sama. Semua Perdana Menteri terpaksa menghadapi wartawan untuk menjawab soalan yang diajukan mengenai pilihan raya. Dalam keadaan bergurau atau sinis, ada kalanya mereka juga cuba menyampaikan sesuatu mesej mengenai pilihan raya. Terpulanglah kepada cara seseorang Perdana Menteri menepis soalan wartawan.
Ada yang mengatakan bahawa tarikh pilihan raya bergantung kepada ‘ilham’. Ada juga yang menjawab perkara yang sudah nyata seperti pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila sebelum tempoh kerajaan sedia ada berakhir. Ada juga secara bergurau meminta wartawan memberikan tarikh yang sesuai untuk pilihan raya itu. Bila ada peluang, soalan mengenai pilihan raya akan terus diajukan kepada perdana menteri dari semasa ke semasa. Soalan bila pilihan raya tidak relevan kepada pembangkang. Ia adalah hak mutlak perdana menteri. Bertambah hampir tempoh kerajaan berakhir, bertambah kerap soalan mengenainya ditanyakan. Soalan ini sering ditanya kerana menyedari ramai rakyat juga ingin mengetahuinya. Sudah lumrah, manusia suka mengetahui mengenai persengketaan, pergaduhan dan pertentangan.
Pilihan raya tidak ada bezanya dengan ‘teori tinju.’ Sebelum sesuatu perlawanan diadakan, peninju terpaksa melalui proses untuk mengukur setiap kriteria yang ada pada dirinya antaranya dari segi ketinggian, berat badan, besar genggaman, ukuran tangan dan sebagainya selain menilai rekod dan prestasinya. Lebih kontroversi seseorang peninju itu, lebih ramai yang menunggu tarikh mereka masuk gelanggang. Bezanya, menang atau tewas seseorang peninju bergantung kepada kecekapan, kebolehan, stamina, kepantasan dan kekuatan penumbuk dan sebagainya, bukan ditentukan undian orang ramai. Setiap pergerakan dan tumbukan mereka dikira. Ada hakim yang mengadili perlawanan selain pengadil di dalam gelanggang. Setiap peninju perlu mematuhi undang-undang ditetapkan. Jika dapat menjatuhkan lawan, pemenang diisytiharkan sama ada menang atau kalah dengan pukulan TKO (technical knock out), KO (knock out) atau dengan kiraan mata. Dalam sesuatu perlawanan hebat, publisiti dan strategi amat penting. Pelbagai taktik digunakan untuk melemahkan lawan, kadang-kadang dengan kata-kata dan dilaporkan media.
Dalam konteks hari ini, Najib sudah beberapa kali membuat kenyataan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), tetapi semua kenyataan beliau itu sudah pun dilaporkan oleh media. Jawapan yang masih samar-samar mengenai tarikh pilihan raya yang diberikan setakat ini menimbulkan reaksi pelbagai. Ada yang yakin pilihan raya akan diadakan tahun ini dengan alasan kedudukan ekonomi Amerika Syarikat yang akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia dan ada juga berpendapat, kerajaan BN mempunyai masa yang masih panjang dua tahun lagi sebelum perlu mendapat mandat baru daripada rakyat. Biasanya, bila kerajaan yang dipilih rakyat menerusi pilihan raya memasuki tahun ketiga, spekulasi mengenai pilihan raya yang baru mula diperkatakan. Apabila masuk tahun keempat, berita mengenai pilihan raya lebih kerap ditimbulkan. Mereka memberi fokus kepada kerajaan yang memerintah, sama ada mengenai peluang untuk terus berkuasa atau perkiraan mengenai calon dan sebagainya.
Tidak banyak tumpuan diberikan kepada kedudukan pembangkang dan sebagainya. Pembangkang menguar-uarkan seolah-olah mereka sudah bersedia menghadapi pilihan raya. Sebenarnya, pembangkang tidak bersedia pun untuk menghadapi rakyat. Mereka sebenarnya mengharapkan pilihan raya tidak diadakan sekarang, kerana di kalangan parti pembangkang – PAS, DAP dan Parti keadilan Rakyat (PKR), sedang bergolak. Jika pilihan raya diadakan segera, mereka mungkin melupakan perbezaan dan menghadapi pilihan raya secara bersama. Ada kemungkinan jika pilihan raya diadakan tahun depan atau awal 2013, mereka akan terus berpecah. Tapi, ada juga kemungkinan bahawa lebih lewat pilihan raya diadakan, lebih banyak masa bagi parti pembangkang untuk merapatkan hubungan. Dalam politik, macam-macam boleh berlaku. Inilah perkiraan yang perlu difikirkan perdana menteri untuk menentukan tarikh pilihan raya, di samping kesesuaian masa. BN juga mempunyai cabaran tersendiri dalam menghadapi pilihan raya.
Jika BN berpendapat ia memerlukan masa untuk memastikan MCA, GERAKAN, MIC serta parti komponen lain benar-benar bersedia, maka pilihan raya tidak perlu diadakan segera. Jika BN berasakan masih ada parti komponen belum bersedia, tidak ada sebab pilihan raya perlu diadakan tergopoh-gapah. Sebaliknya, jika BN berasakan parti pembangkang begitu lemah sekarang, pilihan raya perlu diadakan secepat mungkin. Disebabkan tuntutan tugas, wartawan turut berpeluang menemui pemimpin pembangkang. Mereka juga boleh membaca pemikiran pemimpin pembangkang. Daripada perbualan dengan pemimpin pembangkang, wartawan juga boleh menilai kedudukan sebenar pembangkang. Mereka tahu perselisihan pemimpin dalam parti pembangkang.
Bagi Perdana Menteri, beliau mempunyai percaturan sendiri sebelum membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya. Beliau perlu pastikan, apabila Parlimen dibubarkan semua kerajaan pembangkang turut membubarkan DUN masing-masing. Jika terlalu awal diadakan kerajaan negeri dikuasai pembangkang mungkin enggan mengadakan pilihan raya awal. Ini adalah antara keputusan besar yang perlu diambilkira oleh Najib. Beliau perlu memastikan, pemilihan waktu untuk mengadakan pilihan raya itu mengena.— Berita Minggu
No comments:
Post a Comment