Monday, September 5, 2011

BERKEMUNGKINANKAH TAN SRI PANDIKAR AMIN MENJADI KETUA MENTERI SABAH?

Oleh KELAPA MAWAR


Seorang pemerhati politik Kota Belud yang juga seorang pejuang sejak dari zaman USNO, BERJAYA, PBS dan kini UMNO ‘meramalkan’ YDP Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin berpotensi untuk menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah setelah menimbangkan pergolakan politik Sabah sejak akhir-akhir ini. Sambil menyifatkan bahawa Tan sri Pandikar Amin adalah satu-satunya personaliti politikus Sabah yang bebas dari kontroversi serta skandal melibatkan kepentingan rakyat, besar kemungkinan Najib akan membuat kejutan pada politik sabah selepas PRU 13 akan datang.

Menyedari bahawa perkembangan politik sabah terutama dalam UMNO yang berpecah kepada dua team besar melibatkan Datuk Musa Aman dan datuk Shafie Apdal, kemudiannya pergolakan BN Sabah yang mencetuskan ketegangan melalui beberapa tuntutan dan reaksi LDP terhadap kepimpinan Musa Aman di Sabah, satu jangkaan luar batas kebiasaan politik di sabah akan dilakukan oleh Najib.

Datuk Salleh yang sebelum ini dilihat punya potensi besar dalam merebut kembali kerusi Ketua Menteri sabah diramalkan tidak akan menjadi pilihan Najib setelah Speaker Dewan Undangan Negeri ini menunjukkan kerelaan bekerjasama dengan Musa Aman sekali gus dilabel sebagai rakan kongsi dalam team Musa Aman. Manakala Datuk Shafie Apdal pula bersama Datuk Hajiji dan beberapa orang dari mantan pemimpin USNO yang menyertai UMNO juga tidak akan menjadi pilihan Najib untuk Kerusi Ketua Menteri Sabah untuk mewujudkan keadilan dan membuktikan bahawa Najib tidak ‘menaja’ kumpulan mana-mana dalam UMNO dan BN sabah.

Oleh kerana itu, menurut pemerhati politik KB ini, TSP dilihat adalah calon terbaik setelah menunjukkan beberapa tanda kesetiaan terhadap pucuk pimpinan UMNO pusat termasuk sanggup membubarkan AKAR meskipun parti multi itu merupakan parti tertua dalam BN Sabah pada waktu tersebut. Kemudiannya, kesanggupan TSP menjadi ahli UMNO juga dianggap sebagai tanda kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.

Tidak terpinggir dengan pengalaman sedia ada, TSP juga pernah beberapa kali memegang portfolio penting peringkat negeri seperti menteri Kerja Raya dan menteri pertanian dan perikanan, manakala di peringkat pusat TSP pernah memegang portfolio penting di Jabatan Perdana Menteri ketika era Tun Mahathir dan memainkan peranan penting dalam pembebasan tebusan rakyat Malaysia di selatan Filipina.

Apabila TSP digugurkan pada PRU 12 yang lepas, beliau telah dilantik sebagai YDP Dewan Rakyat dan sebelum ini juga pernah menyandang speaker Dewan Undangan negeri. Dianugerahkan pingat tertinggi kerajaan Negeri Sabah yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima dan pernah diramalkan akan dilantik ke jawatan TYT negeri Sabah, namun tidak menjadi kenyataan apabila Datuk Juhar dilantik ke jawatan tersebut.

Memikirkan krebibiliti dan potensi besar itu, TSP dijangka akan bertanding pada PRU 13 akan datang di peringkat DUN untuk membolehkan beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru. Hujah terakhir yang diutarakan ialah UMNO pernah mendapatkan khidmat Tun Gaffar Baba untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO sebagai meredakan ketegangan puak dan team dalam parti itu. Apakah TSP kali ini akan senasib seperti Tun Gaffar Baba? Hanya Najib yang boleh menceritakannya.

No comments: