Thursday, June 2, 2011

TUDM Bakal Peroleh Radar Baru Awasi Sabah, Sarawak

SABAH DAILY

http://mazrilhisham.files.wordpress.com/2009/02/mainpix1.gif?w=432&h=282


Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka memperoleh sistem persenjataan dan radar pertahanan udara sebagai aset terbaru menjelang akhir tahun ini dalam usaha memperkasa pengawasan ruang udara negara.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, usaha yang dilaksanakan melalui Perolehan Aset Baru yang termoden dan berteknologi tinggi itu akan dimulakan di Sabah dan Sarawak secara berperingkat.

Menurutnya, sistem yang mampu melaksanakan tugas mengawas ruang angkasa negara tanpa mempunyai ruang kebolosan dilihat sebagai pelengkap kepada sistem sedia ada yang perlu dikemaskini mengikut keadaan semasa.

"Kita memerlukan sistem yang mampu beroperasi setiap saat dan ia diharapkan dapat dipasang sepenuhnya di seluruh negara menjelang 2014," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Perbarisan Sempena Hari Ulang Tahun TUDM Ke-53 di Pangkalan Udara Butterworth di sini, Rabu.

Dalam istiadat yang julung kali diadakan di Pangkalan Udara Butterworth, seramai 196 anggota dan 12 pegawai yang diketuai Leftenan Kolonel Mior Nor Badrishah Mohamad dengan disaksikan 200 PALAPES TUDM dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Kota Samarahan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta 200 pelajar dari sekolah sekitar Butterworth.

Ditanya mengenai nilai sistem radar tersebut, Rodzali menjelaskan, TUDM masih menunggu peruntukan kewangan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, TUDM mampu melakukan penambahbaikan terhadap sistem radar sedia ada dengan bantuan negara pengeluar seperti Britain, Itali dan Perancis.

"Apa yang membanggakan ialah sebahagian penambahbaikannya dapat diilhamkan daripada industri aeroangkasa kita sendiri," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Aeroangkasa Negara.

Rodzali menambah, ini penting bagi memastikan industri aeroangkasa terus meningkat dan orang ramai dapat meliha t keupayaan TUDM dalam Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) nanti.

Sementara itu, mengenai pangkalan udara baru di Sendayan, Negeri Sembilan beliau menegaskan bukan semua aset Pangkalan Udara Sungai Besi dipindahkan ke lokasi baru tersebut.

Sebaliknya, katanya, sebahagian besar aset terutamanya melibatkan perintah dan kawalan akan dipindahkan ke lain-lain pangkalan udara sedia ada.

Terdahulu dalam ucapannya, Rodzali menyeru setiap warga TUDM supaya bersedia untuk meningkatkan kualiti pengetahuan dan kemahiran ke tahap yang tinggi supaya aset-aset baru tersebut dapat dikendali dan disenggara dengan sempurna tanpa pergantungan kepada pihak luar.

Katanya, sebagai salah satu strategi memperkasa keupayaan TUDM untuk mengawas ruang angkasa negara, TUDM akan memiliki Helikopter EC 725 mulai 2013 bagi meningkatkan keupayaan tugas-tugas mencari dan menyelamat.

" Manakala perolehan pesawat A400m dijangka akan diterima mulai tahun 2015," katanya. -Mstar

No comments: