Hazayani Zakaria |
POKOK SENA: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan sikap Umno BN seperti musang yang disuruh menjaga reban ayam. Beliau berkata, jika rakyat terus memberikan kuasa kepada Umno BN, samalah seperti rakyat merelakan mereka terus ditipu dan ditindas. "Bagi (kuasa) kat Umno ni serupa bagi jebon (musang) jaga reban ayam. "Jebon ni kalau kita lepas ayam dari reban, bukan setakat ayam dia makan dengan reban-reban sekali hilang," kata beliau mencuit hati hadirin dengan loghat Kedah di majlis ceramah dan pelancaran Bersih 2.0 di dataran pejabat PAS kawasan Pokok Sena, Pekan Langgar malam tadi. Mahfuz memberi contoh tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyerahkan projek pengagihan beras ST 15 kepada kroni mereka. Beras ST 15 merupakan beras hancur yang diberikan subsidi untuk dijual kepada golongan miskin. Namun apa yang berlaku kata Mahfuz, beras itu sangat sedikit berada di pasaran kerana syarikat kroni Umno yang membeli beras itu dengan harga yang murah dari syarikat Beras Nasional Berhad (Bernas) membahagikannya kepada tiga gred. Syarikat berkenaan membahagikan beras tersebut kepada beras hancur, lima peratus hancur dan sepuluh peratus hancur. Beras lima peratus dan sepuluh peratus hancur lebih banyak di pasaran dan dijual dengan harga yang tinggi kerana ia bukan barang kawalan. "Kerajaan peruntukkan RM46 juta sebulan untuk beras ST 15 iaitu beras subsidi nak bagi orang miskin makan. "Caranya dia lantik beberapa kroni untuk dapat kuota ni. Dapat kuota, beli dengan dengan Bernas dapat harga murah kemudian jual dengan harga lain. "Syarikat kroni dapat untung, orang miskin beli beras dengan harga mahal sebab dah dijadikan tiga gred," katanya di hadapan hampir 5,000 hadirin. Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, perkara itu diakui oleh menteri, Datuk Noh Omar di Dewan Rakyat minggu lalu. "Ini diakui oleh menteri. Saya berdebat dengan dia minggu lepas. Menteri kata mereka dah ambil tindakan ke atas syarikat itu tapi saya kata bohong. Saya tunjuk senarai nama projek beras ST 15 ini. "Senarai syarikat yang dapat kuota pada 2008 sama dengan syarikat yang dapat kuota pada tahun ini," katanya. Di Dewan Rakyat minggu lalu, Mahfuz menggesa projek itu dihentikan segera kerana tidak memberi manfaat kepada golongan miskin. "Mereka buat kekayaan di atas duit yang kononnya untuk peruntukan orang miskin. "Sebab itu kita tak boleh lagi nak beri peluang kepada Umno BN," katanya. Turut berceramah di pentas sama ialah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kasim dan ketua pemuda PAS Kawasan Pokok Sena, Ahmad Izzat Shauki yang juga Adun Bukit Lada. |
Monday, June 27, 2011
Umno macam musang jaga reban ayam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment