Harakahdaily |
TEMERLOH: Selepas membawa media meninjau pekan Kerdau, stesen keretapi dan projek kuarters polis terbengkalai kelmarin, semalam wakil-wakil media dibawa ke dua lagi lokasi lain yang membuktikan kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau tidak lekang dengan isu kemiskinan dan kemunduran. Sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Kerdau, pemimpin Umno mendakwa daerah itu tidak pernah diabaikan malah Presiden Umno sendiri bertegas tiada isu kemiskinan di Kerdau. Wakil PAS membawa pihak media ke lokasi sebuah sekolah menengah agama di tepi jalan utama Temerloh-Jerantut berdekatan Simpang Empat Kerdau (gambar). Sekolah Menengah Agama At-Tarbiah Kerdau merupakan satu-satunya sekolah aliran agama di sini dan telah beroperasi sejak tahun 60-an lagi. Bermula dengan menumpang di sebuah surau, Sekolah Agama At-Tarbiah akhirnya mempunyai bangunan sendiri. Bagaimanapun lebih 20 tahun lalu sekolah ini tidak beroperasi sebagai sekolah menengah lagi, dipercayai tiada usaha-usaha dari pihak kerajaan untuk menjadikan sekolah tersebut terus berkembang. Kini bangunannya hanya digunakan untuk kelas agama dan fardu ain (Kafa) kepada anak-anak penduduk di situ dan dibuat pusat tahfiz Quran. "Bagaimana kerajaan BN Pahang dakwa tidak pernah mengabaikan pembangunan di Kerdau, sekolah agama yang menjadi keperluan kepada penduduk untuk anak-anak mereka dibiarkan," kata Abdul Wahid Endut, Timbalan Pengarah PRK PAS Dun Kerdau yang mengetuai tinjauan besama media itu. Kata beliau, BN tidak pernah mahu mengambil berat keperluan pendidikan agama. "Kita boleh lihat bagaimana sebuah sekolah agama akhirnya terpaksa ditutup, kerana tiada usaha pihak kerajaan untuk memajukannya, sedangkan permintaan untuk sekolah aliran agama semakin meningkat" ujar beliau. Menurut Abdul Wahid, beliau dimaklumkan sekolah ini berkembang dengan baik pada peringkat awal, malah satu ketika pernah menjadi antara sekolah yang mencatatkan keputusan peperiksaan cemerlang di seluruh Pahang. "Daripada sebuah sekolah yang beroperasi kemudiannya ditutup, apakah ini tidak bermaksud kemunduran," ujarnya. Menurut penduduk di situ, sekarang ini, penduduk Kerdau yang mahu memasukkan anak mereka ke Sekolah Agama terpaksa pergi ke sekolah Al-Khairiah, Temerloh. "Kalau sekolah agama di Temerloh penuh terpaksalah memilih sekolah aliran biasa, atau bagi yang berkemampuan mereka hantar anak ke sekolah agama yang lebih jauh. Tetapi kata beliau, biasanya terlalu sukar untuk mendapat tempat di Sekolah Agama Al-Khairiah kerana permintaan terlalu ramai dan tempat amat terhad. "Pada saya tiada sebab sekolah ini ditutup, tetapi kerajaan tidak pernah ambil peduli," katanya. Siri tinjauan bersama media yang dikelolakan oleh PAS akan diadakan setiap hari sepanjang kempen PRK Kerdau berlangsung. Selain meninjau sekolah agama, pihak media juga dibawa melawat sebuah rumah penduduk miskin di Kampung Paya Taram (kiri) sekaligus untuk membuktikan dakwaan Perdana Menteri yang mengatakan tiada isu kemiskinan di Kerdau tidak benar sama sekali. Di kampung tersebut, pihak media ditemukan dengan Jusoh Abdullah, 61, yang hidup dalam keadaan menyedihkan. Jusoh mengidap penyakit lelah yang serius tinggal di sebuah rumah usang, sebahagian atap rumahnya bocor tetapi tidak mampu menukar bumbung baru dengan pendapatan RM200 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Anak saya berumur 14 tahun tidak pernah mendapat bantuan persekolahan walaupun berkali-kali saya mohon," kata Jusoh kepada rombongan wakil PAS dan media yang mengunjunginya. Beliau mempunyai seorang isteri, manakala anak lelakinya yang sudah berkeluarga turut tinggal bersama dalam rumah usang itu kerana tidak mampu mencari kediaman lain. Ahmad Mohd Yaman, Imam masjid kampung Paya Taram yang turut sama melawat Jusoh mengesahkan terdapat ramai keluarga miskin di sekitar kampung tersebut. "Saya tengok orang miskin tidak pernah diberi perhatian oleh kerajaan atau wakil mereka di sini. Malah saya sebagai Amir di sini pernah berjumpa dengan orang miskin yang tidak pernah mendapat agihan duit zakat," kata beliau. |
Tuesday, March 1, 2011
Sekolah agama Kerdau terbiar, penduduk miskin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment