Tuesday, March 29, 2011

AJAIB, JPN TAWAR NO MYKAD BARU?


Oleh: BERNAMA

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin menolak satu permohonan bagi mengetepikan saman kecuaian oleh seorang pemandu teksi yang mendakwa bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan dua kad pengenalan dengan nama dan nombor yang sama bagi individu berbeza.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng membuat keputusan itu, di kamar selepas mendengar hujah, bagi mengetepikan permohonan yang difailkan oleh bekas dan Ketua Pengarah JPN pada masa ini, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan.

Peguam Yusfarizal Yusoff dan Mohamad Zaid Daud mewakili plaintif Mohammad Daud Salleh dan peguam kanan persekutuan Suhaila Haron mewakili keempat-empat defendan.

Yusfarizal memberitahu pemberita bahawa mahkamah mendapati wujud tindakan yang berasas untuk saman itu dibicarakan dan tidak diketepikan.

Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan hujahnya bahawa penduaan kad pengenalan itu telah menimbulkan masalah kepada Mohammad Daud.

Yusfarizal berkata mahkamah menetapkan 24 April untuk pengurusan kes saman itu supaya defendan dapat memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman itu.

Pada 4 Jan, Mohammad Daud, 42, memfailkan saman terhadap keempat-empat defendan itu selepas mendapati JPN telah mengeluarkan kad pengenalan kepada orang lain dengan nombor yang sama beberapa tahun lalu.

Katanya, apabila beliau pergi ke JPN bagi menggantikan kad pengenalan lamanya kepada MyKad pada 2005, beliau terkejut apabila jabatan itu memberitahu bahawa ada orang lain telah mengambil MyKadnya dengan nama dan nombor yang sama. Selepas itu, JPN mengeluarkan MyKad dengan nombor yang baru kepadanya.

MyKad baru tidak selesaikan masalah

Bagaimanapun, MyKad yang baru itu tidak menyelesaikan masalahnya apabila beliau menerima beberapa saman trafik bagi sebuah kereta bukan miliknya dan diikuti dengan lebih banyak panggilan dari bank untuk pembayaran semula pinjaman kereta dan beliau menafikan ada membuat pinjaman sedemikian.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohammad Daud berkata beliau enggan menerima MyKad itu kerana beliau telah menggunakan kad pengenalannya yang lama untuk semua transaksi termasuk bank dan sijil kelahiran anaknya dan begitu juga dengan sijil nikahnya.

Katanya, MyKad baru dengan nombor baru tidak akan menyelesaikan masalahnya kerana pihak ketiga masih menggunakan nombor kad pengenalannya dan namanya.

Dalam samannya, Mohammad Daud menuntut agar JPN membatalkan kad pengenalan pendua dan membuat satu pengisytiharan bahawa beliau mempunyai hak ke atas kad pengenalan lamanya.

Beliau juga menuntut ganti rugi teladan dari JPN berhubung kecuaian jabatan itu mengeluarkan dua kad pengenalan dengan nama dan nombor yang sama kepada orang yang berbeza sehingga menyebabkan beliau menghadapi masalah kerana ada individu lain menggunakan kad pengenalan lamanya.

No comments: