Wednesday, March 30, 2011

SU Agung: Arman rasa serba salah, Perkasa mahu terus bergerak


KUALA LUMPUR— Perkasa akan terus bergerak seperti biasa biarpun Arman Azha Abu Hanifah telah melepaskan jawatan Ketua Wira pertubuhan bukan kerajaan membela hak orang Melayu itu berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali berkata Arman Azha (gambar) telah menyampaikan hasratnya untuk melepaskan jawatan Ketua Wira Perkasa sejak seminggu yang lepas kepadanya dan Presiden Datuk Ibrahim Ali.

“Dan, kami telah cuba minta beliau fikirkan sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang ini. Syed Hassan berkata Arman Azha ingin menumpukan karier politiknya dan pihaknya sangat maklum kesukarannya untuk aktif dalam politik jika terus “aktif dengan Perkasa.”

“Beliau adalah AJK dalam Biro Pidato di bawah Ketua Penerangan Umno sekarang ini, perlu bergerak bersama-sama dengan biro tersebut.

“Namun ia kerap terbatas kerana tugasan yang tidak putus-putus bersama Perkasa yang sedang berjuang pertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputera yang mula terhakis,” katanya.

Arman Azha mengumumkan keputusannya petang ini.

Oleh itu kata beliau, adalah sukar apabila beliau berceramah di platform Pemuda Umno kerana pihak-pihak lain akan anggap pendiriannya sebagai suara Perkasa.

“Begitu juga jika beliau di ceramah-ceramah Perkasa, pihak-pihak tertentu akan kaitkan dengan suara Umno.

“Sudah pasti beliau serba salah. Beliau masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah dalam politik. Adalah sangat sedih beliau meninggalkan Perkasa sedangkan suaranya dan keberaniannya sebagai anak muda Melayu sangat-sangat diperlukan ketika Perkasa begitu serius perjuangankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Kata beliau, kerugian itu dirasa apalagi ketika ini pimpinan muda Melayu dari Umno, PAS dan PKR sangat lesu mempertahankan kepentingan bangsa dan kesucian Islam berbanding dengan pimpinan muda bukan Melayu dari semua parti yang dilihat lebih berani perjuangkan kepentingan agenda kaum mereka.

“Beliau tetap ahli Perkasa. Saya harap beliau akan dapat kembali bersama dalam barisan pimpinan Perkasa di masa-masa akan datang.

“Namun begitu, Perkasa akan terus bergerak seperti biasa biarpun sudah kehilangan seorang orang muda yang betul-betul berani seperti beliau,” katanya.

No comments: