The Malaysian Insider difahamkan ia antara kompromi yang telah dicapai hujng minggu lalu di sebalik desakan pelbagai pihak dan kemudiannya telah dibincangkan pada mesyuarat lembaga itu kelmarin.
Sumber memberitahu, dalam persekitaran mesyuarat yang “agak panas” kelmarin lembaga pemegang amanah telah mencapai kata sepakat supaya satu klausa baru dimasukkan ke dalam perlembagaan MIED bagi memberi jaminan sayap pendidikan itu kekal sebagai eniti MIC, sekali gus mengatasi kebimbangan ramai bahawa ia akan “dilarikan” oleh pihak tertentu.
Ramai bimbang dengan kemungkinan itu kerana tiada peruntukan perundangan yang mengikat MIED dan MIC walaupun ia ditubuhkan oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) itu lebih dua dekad lalu.
Sayap itu kini mempunyai aset sekitar RM1 bilion dan dakwaan tersebar Samy Vellu mahu menambah ahli untuk memisahkan MIED dari milikan MIC.
Minggu lalu Samy Vellu memberi jaminan MIED tetap merupakan aset MIC.
“Pindaan ini telah dibincangkan dan pada dasarnya telah dipersetujui oleh pemegang-pemegang amanah. Peguam-peguam MIED sedang menghalusi perkara ini selain kesan dan implikasi pindaan yang hendak dibawa,” kata seorang pemimpin MIC kepada The Malaysian Insider.
MIED ditubuhkan awal 1980-an ketika era kepimpinan Samy Vellu sebagai presiden MIC.
Justeru, selaku presiden MIC ketika itu, Samy Vellu yang berundur Disember lalu, dilantik sebagai pengerusi pertamanya dan terus kekal sehingga sekarang.
Pindaan itu akan dibawa ke mesyuarat agung tergempar (EGM) MIED yang dijangka diadakan dalam masa dua bulan.
The Malaysian Insider juga difahamkan pindaan itu juga memerlukan lembaga pemegang amanahnya mendapatkan persetujuan jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC jika mahu menambah ahli baru pada masa-masa akan datang.
“Ini langkah menyediakan peruntukan hitam putih, di mana jika MIED mahu menambah ahli baru mereka harus mendapatkan perakuan daripada CWC terlebih dahulu,” kata sumber itu lagi.
Samy Vellu mahu menambah 10 lagi ahli, tambahan kepada 34 kerusi yang ada sekarang.
Menurut sumber itu lagi, pindaan itu adalah hasil perbincangan yang diadakan antara Samy Vellu dan penggantinya, Datuk G. Palanivel dengan Tan Sri Dr KS Nijhar menjadi perantara perbincangan.
Difahamkan Palanivel juga ada memberikan persetujuan bertulis kepada Samy Vellu untuk menambah ahli baru, tetapi dengan syarat memasukkan klausa yang memastikan MIED kekal dalam milikan MIC dan langkah menambah ahli-ahli baru pada masa depan pula harus mendapat persetujuan CWC parti.
Dalam pada itu, Nijhar ketika dihubungi malam tadi berkata, beliau tidak menentang langkah menambah ahli baru ke dalam MIED.
“Saya hanya menentang prosedur semasa di mana lembaga pemegang amanah boleh menambah ahli-ahli baru mengikut budi bicara mereka.
“Saya sebenarnya mengesyorkan agar memorandum (perlembagaan) dipinda di mana lembaga pemegang amanah hanya menerima ahli-ahli baru dengan mendapatkan persetujuan CWC MIC terlebih dahulu,” kata beliau dengan meneliti syor itu akan memastikan milikan MIC ke atas MIED terus dipertahankan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan kelmarin, lembaga pemegang amanah MIED, Samy Vellu menegaskan pihaknya memang ada sokongan penuh MIC untuk menambah 10 ahli baru.
Persetujuan itu dilihat merujuk kepada surat dihantar oleh Palanivel hujung minggu lalu sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar permohonan injunksi sementara menghalang agenda menambah keahlian MIED.
Kenyataan MIED kelmarin itu dikeluarkan selepas mahkamah membenarkan injunksi sementara sehingga permohonan asal didengar pada Isnin ini.
Injunksi sementara itu membolehkan bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam dan dua yang lain memperoleh perintah mahkamah untuk menyekat Samy Vellu daripada menerima masuk 10 anggota baru.
Jumaat lalu, Subramaniam, bekas ketua Pemuda MIC S. Vigneswaran dan timbalan pengerusi MIC Kedah Datuk S. Ganesan memfailkan injunksi itu di Mahkamah Tinggi yang menamakan MIED, Samy Vellu dan beberapa anggota lembaga pemegang sebagai defendan.
Ketiga-tiga merupakan ahli MIED.
Hakim memberikan injunksi interim kepada ketiga-tiga mereka sehingga 14 Mac ini, di mana mahkamah akan memutuskan sama ada untuk melanjutkan injunksi interim sehingga EGM MIED yang akan diadakan dalam masa dua bulan selepas 1 Mac.
Malah, ketiga-tiganya juga telah mengemukakan satu rekuisisi kepada setiausaha syarikat MIED Rabu lepas untuk mengadakan EGM, yang akan diadakan dalam masa dua bulan dari 1 Mac, untuk menyingkirkan Samy Vellu sebagai pemegang amanah dalam MIED.
Injunksi itu diperoleh kira-kira sejam sebelum lembaga pemegang amanah mengadakan mesyuaratnya kelmarin.
Ini kali pertama keputusan seumpama itu dibantah oleh anggota lembaga amanahnya sendiri.
Sebelum ini ada pandangan bahawa MIED dan AIMST merupakan dua sayap pendidikan milik MIC, dan tidak wajar disusun menjadi entiti berasingan sebagai sebuah yayasan.
MIED kini menguruskan AIMST atau Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia yang terletak di Semeling, Kedah.
Pada tahun 1996/97, MIED menerusi MIC memulakan usaha menubuhkan AIMST. MIED juga menyediakan bantuan kewangan pendidikan.
Ketika itu, Samy Vellu menegaskan, tiada apa-apa kaitan antara MIED dan AIMST dengan MIC.
No comments:
Post a Comment