Hazayani Zakaria |
JASIN: PAS hari ini mengulangi pendirian bahawa suara Pakatan Rakyat amat penting di Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan negeri di bawah BN. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, kepentingan suara Pakatan Rakyat sudah terbukti di Parlimen apabila berjaya membongkar skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sehingga beberapa bekas menteri BN termasuk bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Dr Chan Kong Choy dihadapkan ke mahkamah. Beliau juga berkata, kepentingan suara Pakatan Rakyat terbukti dalam kes kerugian MAS sebanyak RM8 bilion yang mula disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah kes itu dibawa ke Parlimen. "Pakatan Rakyat berhempas pulas membawa isu PKFZ ke Parlimen dan hasil perjuangan kami kes ini terbongkar sehingga membawa beberapa bekas menteri dihadapkan ke mahkamah. "Begitu juga dengan kerugian MAS sebanyak RM8 bilion mula disiasat SPRM setelah didedahkan di Parlimen. "Betapa pentingnya konsep "check and balance" di Parlimen dan konsep ini juga perlu ada di Dun," kata beliau pada sidang media di markas induk PAS, dekat sini hari ini. Sehubungan itu ujarnya, Pakatan Rakyat khususnya PAS akan berusaha untuk memastikan calon PAS, Yuhaizad Abdullah berjaya menambah suara pembangkang di Dun Merlimau. "Tak rugi untuk kita hantar Yuhaizad ke Dun kerana suara beliau amat penting untuk membawa suara rakyat. "Kita harap kehadiran suara pembangkang dapat membuka minda rakyat yang masih terperangkap dengan pemikiran bahawa Pakatan Rakyat tidak penting di sidang Dun atau Parlimen," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian. |
Thursday, March 3, 2011
PAS perlu menang, tambah suara Pakatan Melaka
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment