Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengajak seluruh wanita negara ini membuat perubahan bagi merubah nasib mereka pada tahap yang lebih gemilang sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia ke-100, hari ini. “DMPP turut mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita Sedunia kepada seluruh wanita di mana jua mereka berada,” ujar ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh. Sempena 100 tahun sambutan hari tersebut kali ini dengan temanya “Equal acsess to education, training, science and technology: Pathway to decent work for women – Kesamarataan peluang terhadap pelajaran, latihan, sains dan teknologi: Laluan kerjaya terpuji untuk wanita”. Sebenarnya, kata beliau dalam pandangan Islam, wanita mempunyai hak-hak yang sama dengan lelaki di mana Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa wanita adalah pelengkap bagi lelaki manakala lelaki juga adalah pelengkap bagi wanita. Sabda Rasulullah s.a.w pula yang bermaksud: “Sebenarnya wanita adalah saudara kandung bagi lelaki!” “Sesungguhnya dari maksud hadis tersebut jelaslah bahawa pada pandangan Islam tidak ada pengurangan atas hak-hak wanita ataupun kezaliman atas wanita demi kepentingan lelaki kerana Islam merupakan satu syariat Allah yang diturunkan untuk lelaki dan wanita sekaligus tanpa pengecualian,” ujarnya dalam satu kenyataan. Oleh itu, jelasnya sebarang bentuk ketidak adilan ke atas wanita di dalam setiap aspek kehidupan amatlah ditegah dan bercanggah dengan ketentuan Ilahi. Apatah lagi, ujarnya amat besarnya peranan wanita yang mesti disempurnakan oleh wanita, seperti kata-kata bijak pandai: Seorang ibu ibarat sekolah, apabila kamu siapkan dengan baik, bererti kamu menyiapkan satu bangsa yang harum namanya. Sehubungan itu, menurutnya Pakatan Rakyat menawarkan beberapa program di dalam pelaksanaan agenda Dasar Bersama Pakatan Rakyat seperti menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan yang adil dalam segenap bidang. Di samping itu, memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu dan memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan. Pakatan Rakyat juga, tambahnya menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman setimpal yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan kebersanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis. Selain itu, katanya memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat penjagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta. Beliau menambah, Pakatan turut memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan, mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara, memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah dan mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengkukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara. Justeru, ujarnya sayugia wanita mengambil inisiatif dan keprihatinan terhadap tawaran-tawaran tersebut agar seluruh wanita Malaysia dapat berperanan dan memberikan sumbangan positif terhadap usaha-usaha Pakatan Rakyat merubah nasib kaum wanita pada tahap yang lebih gemilang. “Sesungguhnya nasib kita adalah di tangan kita juga seperti penegasan Allah SWT di dalam al-Quran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang individu atau kaum tanpa mereka berusaha mengubah sikap dan berusaha ke arah reformasi kehidupan yang lebih baik. “Marilah kita bersama-sama berganding bahu melaksanakan perubahan ini. Ubah sekarang, selamatkan Malaysia,” ujarnya. |
Tuesday, March 8, 2011
Muslimat PAS ajak wanita buat perubahan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment