KUALA LUMPUR — Bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam dan dua yang lain memperoleh injunksi sementara bagi menghalang Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED), yang dipengerusikan bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, daripada meneruskan agenda menambah bilangan ahlinya, hari ini.
Perintah injunksi itu diperoleh kira-kira sejam sebelum lembaga pemegang amanah MIED mengadakan mesyuaratnya di ibu pejabat MIC pagi ini.
Permohonan didengar selama satu setengah jam bermula 8.30 pagi tadi manakala lembaga tersebut mengadakan mesyuarat 11 pagi.
Permohonan itu dibuat oleh Subramaniam, ketua Pemuda MIC A. Vigneswaran dan dan bekas Adun Kedah Datuk S. Ganesan, yang juga ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC.
Mereka juga membuat permohonan minggu lalu meminta Samy Vellu dan seorang lagi pemegang amanahnya Tan Sri T. Marimuthu melepaskan jawatan mereka.
Ketika dihubungi peguam plaintif T Rajasekaran dan Vigneswaran sendiri mengesahkan pemerolehan perintah sementara itu.
“Setelah didengar selama satu setengah Hakim Datuk Mohd Arif Mohd Yusof membenarkan injunksi ‘ad-interim’ sehingga 14 Mac ini.
“Permohonan ini akan didengar pada 14 Mac (Isnin depan),” kata Rajasekaran ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Katanya di bawah kebenaran itu lembaga pemegang amanah MIED tidak boleh meneruskan agenda membincangkan usaha menambah ahli.
Samy Vellu mahu menambah 10 lagi ahli dalam MIED.
Mesyuarat MIED diadakan pagi ini sementara beberapa pemegang amanahnya dijangka tiba lewat kerana berada di Parlimen sempena majlis pembukaan sidang penggal ketiga.
“MIED boleh mengadakan mesyuarat lembaga pemegang amanah tapi tidak boleh bincangkan agenda menambah ahli,” kata Rajasekaran, salah seorang peguam plaintif.
Permohonan itu dibuat Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Vigneswaran berkata beliau berharap lembaga pemegang amanah MIED tidak meneruskan agenda menambah ahli.
“Dan, saya juga berharap MIED menggugurkan perkara ini sehingga satu AGM atau EGM diadakan kelak,” kata bekas ahli Parlimen ini.
“Ini penting untuk menjimatkan kos perundangan. MIED adalah aset rakyat,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment