Friday, March 4, 2011

Mengapa Modus Operandi NGO 1 Malaysia Mirip Gaya Umno-BN?-Rozan

Ditulis oleh farah azila



SHAH ALAM : Pertubuhan NGO 1Malaysia yang dikatakan misteri apabila muncul sebagai penyumbang barangan keperluan serta menaja jamuan makan malam kepada pengundi setiap kali pilihan raya kecil, dianggap satu lagi agenda Barisan Nasional (BN) yang berasaskan kepada kepentingan kepada parti itu.

Timbalan Ketua Penerangan AMK Pusat, Rozan Azen Mat Rasip ketika ditemui Tv Selangor berkata, agak menghairankan bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menyifatkan mereka tidak menyokong mana-mana parti namun tampil pada setiap kali pilihanraya kecil diadakan.

"Sekiranya ini ada satu pertubuhan yang bebas dan tiada kepentingan, mengapa NGO misteri 1Malaysia ini muncul di setiap pilihanraya kecil dan berkempen untuk BN. Jadi ini satu persoalan yang perlu kita lihat dan siasat, ini adalah satu NGO tajaan pihak-pihak tertentu yang mempunyai niat yang berkepentingan,"kata Rozan.

Semalam portal Malaysiakini melaporkan, sumber yang rapat dengan NGO misteri itu berkata, mereka bergerak secara sendiri dan bukan NGO pro-Umno.

Ironinya, majlis makan tengahari dan makan malam percuma yang dianjurkan oleh pertubuhan itu mirip satu majlis yang diadakan pada pilihanraya kecil Tenang akhir Januari lalu.

Pada majlis itu, pengundi turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah, dan para pengundi juga dihiburkan dengan tarian seksi gadis-gadis genit.

Kali pertama NGO misteri ini tampil ialah pada kempen pilihanraya kecil Galas dengan menggunakan modus operandi sama, menarik perhatian pengundi bukan Melayu.

Justeru itu, Rozan mempersoalkan, adakah NGO ini ditugaskan untuk memancing undi masyarakat bukan Islam sahaja? Jika itu berlaku, parti komponen BN tidak wajar berpeluk tubuh dan harus memberikan penjelasan.

"Tapi satu persoalan yang menarik, NGO ini dilihat menarik minat para pengundi bukan Melayu, jadi ini perlu dijawab dan saya rasa pihak yang perlu menjawab adalah BN, MCA, MIC dan Gerakan.

"Kalau berdasarkan bukti, fakta yang kita lihat dari segi gerak gaya kempen mereka juga cenderung ke arah yang diamalkan BN, kita tidak menuduh tetapi inilah
panduan kita melihatkan gerak kerja mereka," kata Rozan lagi.

Pada kempen pilihanraya kecil Merlimau yang sedang berlangsung ini, NGO 1Malaysia itu mengulangi modus operandi dengan mengadakan makan tenghari dan makan malam secara percuma hampir setiap hari.

Ia lazimnya dihadiri oleh pengundi bukan Melayu yang jumlahnya daripada ratusan dan ada kalanya mencecah ribuan.

Sambil menjamu selera dengan dikelilingi poster gergasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan logo rasmi 1Malaysia, mereka juga dihiburkan dengan persembahan daripada gadis-gadis muda dengan berpakaian seksi.

Terbaru, pertubuhan itu dikatakan mengadakan program makan malam bersama masyarakat India di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Merlimau malam tadi.

Setiap pengundi diberikan tiket untuk menghadiri program tersebut. Mereka yang tiada tiket tidak dibenarkan masuk termasuk wartawan.

Selain itu, program anjuran pertubuhan misteri itu dikawal ketat petugas yang memakai kemeja-T 1 Malaysia.

Ketika ditanya mengapa wartawan tidak dibenarkan masuk, petugas terbabit berkata hanya mereka yang mempunyai tiket dibenarkan untuk menyertai program yang
dianjurkan.

Namun, wartawan kemudiannya dibenarkan masuk apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam datang untuk memberikan ucapan.

Ali bagaimanapun ketika ditanya wartawan berkata, beliau tidak tahu kewujudan NGO itu dan hanya singgah apabila melihat ramai orang hadir ke majlis berkenaan.

No comments: