Friday, March 4, 2011

Lim Guan Eng dan "Dilema Melayu"-nya

Wong Chin Huat

"UMNO berdepan dengan 'Dilema Cina': Barisan Nasional akan kehilangan sokongan Melayu, seandainya memansuhkan hak keistimewaan Melayu untuk memikat hati Cina. Namun demikian, pengundi Cina tetap akan menolak BN, walau bagaimana BN memikat hatinya sekalipun." Demikianlah pengamatan Mahathir Mohamad selepas "tsunami politik" pada 8 Mac 2008.

Bahagian depan analisa ini bertitik tolak daripada logik "zero-sum-game" perkauman UMNO seperti biasa, namun kelihatan ada benarnya pada bahagian akhirnya. Mungkin lebih tepat jikalau disimpulkan sedemikian, "Sememangnya UMNO menghadapi 'dilema Cina', di mana BN terpaksa memikat hati Cina. Namun, bagaimana mereka berusaha pun, ia kekal sukar untuk BN meraih undi Cina."

Sesungguhnya, jikalau kita menggantikan istilah "Cina" dengan "Melayu Pulau Pinang", kemudian gantikan istilah "BN" dengan "DAP", maka kita akan menemui "dilema Melayu yang dihadapi DAP". Atau lebih tepat, "dilema Melayu yang dihadapi Lim Guan Eng". Maknanya, betapa pun DAP memikat hati Melayu Pulau Pinang, namun ia tetap sukar untuk mereka meraih undi Melayu.

Lim Guan Eng diserang kiri dan kanan

Sememangnya, ada bezanya antara "dilema Cina UMNO" dengan "dilema Melayu Lim Guan Eng". UMNO gagal meraih sokongan Cina, antaranya disebabkan tingkahlaku dan hujah PERKASA, Nasir Safar dan dua orang pengetua sekolah yang menyuruh anak muridnya balik ke China. Hujah sedemikian memberi gambaran bahawa UMNO masih berjinak-jinak dengan politik talam dua muka, malah masih terbawa-bawa dengan ideologi politik perkauman.

Namun punca sebenar Lim Guan Eng kehilangan sokongan Melayu bukan disebabkan terdapatnya kakitangannya yang angkuh (meskipun ia satu hakikat), malah bukan kerana keprihatinannya terhadap Melayu yang sekadar "kosmetik".

Lihat kepada kritikan Gerakan Pulau Pinang terhadap Lim Guan Eng, bahawa beliau terlalu menyebelahi Melayu, sehingga 90% daripada projek-projek kerajaan negeri Pulau Pinang diserahkan kepada kontraktor bumiputera. Ia memperlihatkan bahawa Lim Guan Eng sememangnya diserang dari kiri dan kanan, dan bukannya cakap tak serupa bikin. Pada hakikatnya, usaha beliau seperti penubuhan "Majlis Perundingan Kontraktor Kelas F", hinggalah pemberian RM100 kepada guru Kafa sempena sambutan Maulidur Rasul - menunjukkan bahawa beliau lebih prihatina terhadap masyarakat Melayu secara keseluruhannya, berbanding Koh Tsu Koon.

Jadi, apa yang mengakibatkan kerajaan negeri Pulau Pinang asyik dituding jari? Pertikaian yang terkini adalah penerbitan risalah myBALIKpulau, yang dituduh "lupa sejarah, hina Melayu"- jelas menunjukkan perangai mereka yang suka membesar-besarkan isu, mereka-cipta tuduhan dan menyalahkan kerajaan negeri baru atas apa yang dilakukan bekas kerajaan sebelum 8 Mac 2008.

Sesungguhnya politikus UMNO, Utusan Malaysia dan TV3 yang bisa menterbalikkan hitam dengan putih adalah punca kepada masalah, dan Parti Gerakan Pulau Pinang yang memihak kepada UMNO juga patut dipersalahkan. Persoalannya, apakah Lim Guan Eng dan kerajaan Negeri Pulau Pinang begitu sempurna, sehingga tiada ruang untuk diambil kesempatan musuhnya?

Pemimpin Melayu kurang terserlah

Perbincangan saya dengan seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat dari "generasi reformasi" baru -baru ini mencungkil satu jawapan yang counter-intuitive, berbunyi, punca Lim Guan Eng kehilangan sokongan Melayu bukan disebabkan terlalu sedikit usahanya, sebaliknya disebabkan usahanya yang terlebih!

Menurut wakil rakyat ini, Lim Guan Eng sering tampil ke depan dalam isu yang melibatkan komuniti Melayu dan Islam. Namun, ekoran daripada kesungguhan ini, pemimpin keturunan Melayu dalam kerajaan negeri Pulau Pinang seperti Mansor Othman selaku Timbalan Ketua Menteri I, dan Abdul Malik Kassim selaku EXCO, kelihatan kurang terserlah. Kononnya, daripada 20 orang pengundi Melayu, hanya seorang tahu menyebut nama Timbalan Ketua Menteri I, apatah lagi pemimpin politik Melayu (selain Anwar Ibrahim) dalam Pakatan Rakyat.

Dari segi prinsip, seseorang Ketua Menteri yang berketurunan Cina harus diberi pujian apabila berprihatin dan bertindak sendiri dalam isu Melayu dan agama Islam. Ini kerana beliau telah memburaikan mitos bahawa isu perkauman seharusnya dikendalikan wakil kaum masing-masing. Namun demikian, dalam realitinya, apakah mungkin seseorang pemimpin Islam-Melayu dipuji apabila beliau menguruskan isu komuniti Cina dan India? Sekiranya tidak, apakah pengundi Melayu-Islam yang serba salah selepas 8 Mac 2008 akan berasa lega, walaupun kerajaan negeri Pulau Pinang amat prihatin terhadap Melayu, tetapi pemimpin Melayunya kelihatan kurang menonjol?

Wakil rakyat ini bertanya, mengapa pengundi Cina bencikan UMNO? Bukankah antara sebabnya, UMNO sering memperlekahkan MCA dan Gerakan yang dianggap sebagai wakil masyarakat Cina? Justeru itu, bagaimana Melayu menyukai kerajaan negeri Pulau Pinang, sekiranya mereka merasakan bahawa wakil politik mereka tidak berkuasa dalam kerajaan negeri?

Politik perkauman menuntut kaumnya berkuasa

Pada hemat saya, mentaliti komuniti Cina dalam soal "wakil kaum" ini mungkin jauh lebih fleksible berbanding Melayu. Selagi permintaan mereka disampaikan, komuniti Cina tidak begitu mementingkan sama ada wakil yang berdialog dengan Najib adalah MCA, Gerakan, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia, atau tycoon yang enggan terdedah identitinya. Komuniti Cina tidak menuntut agar wakil mereka dalam kerajaan terikat kepada seseorang atau kumpulan tertentu. MCA cuma mahu melanjutkan hayat politiknya apabila menyarankan pendekatan menonjolkan dirinya (high profile), namun ia bukan satu kemestian untuk mentadbir komuniti Cina. Ramai lagi ketua pertubuhan Cina yang bergelaran "Tan Sri", "Dato", dan "Doctor" akan menawarkan diri untuk menjadi wakil komuniti Cina, seandainya MCA gagal berbuat demikian.

Sebagai perbandingannya, masyarakat Melayu yang selama ini disemai dengan mesej "perpaduan kaum", menuntut bukan sahaja dasar yang memanfaatkan mereka, tetapi juga bangsa dirinya untuk berkuasa. Mentaliti ini tidak sukar untuk difahami. Katakanlah pegawai kerajaan Melayu mengubah sikapnya untuk lebih berprihatin terhadap komuniti Cina pada hari ini, apakah komuniti Cina tidak akan lagi menuntut lebih jawatan dalam kerajaan untuk disandang bangsa dirinya?

Sememangnya kesemua ini adalah sisa yang berbisa dari politik perkauman. Namun, dalam usaha kita untuk meruntuhkan tembok politik perkauman, apakah ia perwakilan kaum dan autonomi komuniti itu tidak mengandungi erti "inklusif" sama sekali?

Lim Guan Eng (gambar kanan) seorang yang bijak, namun orang bijak ada kalanya dikelirukan kebijakan dirinya. Orang sebegini hanya mahu melakukan sesuatu, gagal melihat keperluan untuk orang lain "melakukan sesuatu", seandainya dirinya tidak melakukan sesuatu itu.

Apakah kesudahan yang paling buruk seandainya Lim Guan Eng perlu mengendalikan sendiri hal ehwal Melayu-Islam? Sahabat wakil rakyat saya itu berkata, Pakatan Rakyat sememangnya akan terus berkuasa di Pulau Pinang, namun parti pemerintah ini mungkin kehilangan kesemua wakil rakyat keturunan Melayu-nya. Seandainya demikian, maka nampaknya Lim Guan Eng sendiri terpaksa mengendalikan semua hal ehwal Islam buat masa itu.

*Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview. Diterjemah dan disunting oleh Tey Hwey Gek dari teks asal yang disiarkan pada 23 Februari 2011.

No comments: