Seorang anggota panel suruhanjaya itu, Datuk T Selventhiranathan, yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, berpendapat tindakan Mohd Ashraf itu lebih bersifat selektif kerana kebanyakan soalan yang dikemukakan kepadanya gagal dijawab.
Bagaimanapun, Mohd Ashraf tidak dapat mengingatinya dengan berkata: "Saya tak ingat, sebab suara Teoh perlahan tetapi apabila kami meminta alamat emel Teoh, dia menulis di atas kertas.
"Saya tidak mengingat sebab banyak soalan diajukan oleh Arman," katanya yang menjalankan siasatan untuk membantu pegawai SPRM Arman Alies.
Perkara itu turut disokong bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang kelihatan kesal dan kecewa dengan tindakan Mohd Ashraf yang enggan memberi kenyataan sewajarnya.
"Kenapa tak ingat... ini perkara penting kita tak mahu tunding jari kepada sesiapa. Kita hendak yang benar tapi kamu menjadikan perkara ini sebagai "anti-klimaks". Kalau benda yang penting kamu tidak ingat adakah kamu memerlukan 20 minit untuk mengingat kembali?" kata Abdul Kadir.
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Siasatan itu, kemudian menangguhkan prosiding selama 30 minit untuk membolehkan Mohd Ashraf meneliti kesemua fail dan dokumen dalam kes siasatan Teoh.
Dalam prosiding hari ini, Mohd Ashraf turut disindir oleh Awang Armadajaya yang bertanyakan kepada beliau adakah tugasnya sebagai pegawai penyiasat tidak penting dan beliau berkata: "Saya ditugaskan untuk membantu sahaja."
Hakim Foong kemudiannya menegaskan sebagai penolong, beliau berperanan sepertimana pegawai penyiasat dan seharusnya mengetahui tugas-tugas sebagai pegawai penyiasat.
Teoh, 30, Setiausaha Politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Suruhanjaya itu turut dianggotai Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat "keputusan terbuka" berhubung kes itu.
No comments:
Post a Comment