Friday, March 4, 2011

Jumlah pemilih berdaftar 11.82 juta

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperakui Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku tahun keempat 2010, iaitu dari Oktober hingga Disember, menjadikan jumlah pemilih berdaftar terkini seramai 11.82 juta. (11,817,936 orang)

Menurut kenyataan SPR, DPT suku tahun keempat mengandungi 304,698 pemilih terdiri daripada 269,033 permohonan pemilih baru dan 35,665 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

SPR juga mengeluarkan 66,043 orang pemilih daripada rekod pemilih berdaftar atas sebab-sebab seperti meninggal dunia dan dilucut hak kewarganegaraan.

“Dengan pengesahan DPT Suku Tahun Keempat 2010 ini, jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara setelah dicantum dengan Daftar Pemilih Induk Tahun 2009 dan DPT Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010 ialah sebanyak 11,817,936 orang,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata sepanjang tempoh pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 dari 9 hingga 15 Feb tahun ini, SPR menerima tiga tuntutan yang melibatkan dua Bahagian Pilihan Raya Parlimen iaitu P19 Tumpat dan P27 Tanah Merah di Kelantan.

Dalam tempoh itu juga, SPR menerima 57 kes bantahan melibatkan 26,549 orang pemilih di 10 Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan kesemua bantahan itu belum dapat diselesaikan.

“Oleh sebab itu, bagi DPT Suku Tahun Keempat 2010, sebanyak 23,405 permohonan baru dan 3,144 permohonan pendaftaran pertukaran alamat pusat mengundi bagi 10 bahagian Pilihan Raya berkenaan tidak dapat disahkan kerana terlibat dengan bantahan.

“Pengesahan permohonan baru dan pertukaran alamat pusat mengundi bagi bahagian-bahagian pilihan raya itu perlu ditangguh sehingga semua kes bantahan itu dapat diselesaikan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, SPR turut mengingatkan pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka bagi memastikan mereka didaftar di lokaliti yang betul dan bagi mengelak tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih atau menukar lokaliti seseorang pemilih tanpa dipohon.

“Sebagai persiapan menghadapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 akan datang, SPR menasihatkan pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran mereka,” kata kenyataan itu.

SPR juga memohon kerjasama waris si mati untuk melaporkan kematian kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan segera serta membawa permit mengubur atau sebagainya sebagai bukti kematian dalam usaha SPR membersihkan Daftar Pemilih daripada nama pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia.

Kenyataan itu berkata sekiranya waris si mati tidak memperakukan kesahihan kematian itu kepada JPN, atau lewat melaporkan kematian, maka JPN tidak dapat mengemaskini pangkalan data.

“Tanpa memperoleh pengesahan daripada JPN bahawa seseorang pemilih itu telah meninggal dunia, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada pangkalan data Daftar Pemilih,” katanya.

Selain itu, bagi pemilih berdaftar yang telah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi berdekatan dengan tempat kediaman masing-masing.

Permohonan pertukaran alamat pusat mengundi boleh dibuat di mana-mana pejabat pos berkomputer, melalui kaunter bergerak SPR, kaunter Ibu Pejabat SPR, Putrajaya ataupun kaunter di pejabat pilihan raya negeri. — Bernama

No comments: