Thursday, March 3, 2011

Bekas YDP Selayang didakwa lulus biaya selenggara rumah sendiri

BERNAMA

SHAH ALAM — Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Datuk Bakaruddin Othman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dakwaan menggunakan wang pihak berkuasa tempatan itu bagi penyelenggaraan rumahnya sendiri kira-kira sembilan tahun lepas.

Bakaruddin, 57, yang kini bertugas sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, dituduh di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di antara Jun 2001 hingga April 2002 di Bangunan Majlis Perbandaran Selayang, Bandar Baru Selayang dengan menggunakan jawatannya sebagai Yang DiPertua majlis perbandaran itu untuk mendapatkan suatu suapan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM26,500.

Pembiayaan bagi menyelenggara rumah miliknya sendiri di alamat No 14413 Jalan Laksamana 9, Kampung Laksamana, Batu Caves Selangor didakwa diluluskan Bakaruddin di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sebut Harga MPS bertarikh 27 Oktober 2001 di mana dia mempunyai kepentingan langsung.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Ketua Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Abdul Razak Musa meminta ikat jamin bernilai RM8,000 dikenakan terhadapnya.
Bakaruddin, yang tidak diwakili peguam pada hari ini, memohon supaya ikat jamin dirinya dikurangkan.

Asmadi kemudianya menetapkan jaminan RM8,000 dan seorang penjamin serta menetapkan tarikh sebutan kes itu pada 4 April ini.

Bakaruddin didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 16 akta sama iaitu dipenjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

No comments: