KUALA LUMPUR - Notis arahan berpindah dan mengosongkan tapak sebelum 15 Mac yang diserahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada penduduk Kampung Ladang Bukit Jalil(LBJ) adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang di bawah Seksyen 7(2) Akta Relif Spesifik 1950.
Notis pengosongan bertarikh 1 Mac itu dikatakan merujuk kepada 'persetujuan' dan keputusan 'perbincangan' di antara Menteri Wilayah Persektuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Subramaniam dan beberapa wakil penduduk LBJ, 23 Februari lalu.
Menurut peguam, Fadiah Nadwa Fikri yang mewakili penduduk, anak guamnya yang berkhidmat selama empat generasi di kawasan itu adalah penduduk sah dan bukannya penduduk haram seperti yang didakwa.
"Di bawah undang-undang, kerajaan tidak boleh memaksa mana-mana individu untuk keluar dari kediaman mereka tanpa memberitahu atau mengemukakan alasan jelas untuk mereka patuhi.
Di dalam notis ini tidak dinyatakan sebarang peruntukan undang-undang untuk membolehkan mereka mengusir penduduk. Notis ini tidak sah kerana DBKL tidak mendapat arahan daripada mahkamah bagi mengesahkan penduduk LBJ duduk secara haram di tanah tersebut,"ujarnya kepada pemberita.
Justeru, Fadiah menegaskan, anak guamnya tidak akan mengikut arahan DBKL memandangkan organisasi itu tidak mempunyai bidangkuasa untuk mengarahkan pengosongan tapak dan tempat kediaman berkenaan.
Pertemuan bersama menteri dan penduduk pada 23 Februari lalu juga adalah gagal kerana suara penduduk tidak didengar malah pihak terbabit cuba menafikannya.
Tambah Fadiah, tindakan DBKL memaksa penduduk LBJ meninggalkan kawasan kediaman mereka disifatkan sebagai bertentangan dengan Hak Asasi Manusia 1993.
"Kenyataan DBKL adalah salah kerana di bawah undang-undang, penduduk bukan sahaja berhak menerima pampasan, malah mereka turut berhak untuk memiliki kediaman sendiri di atas tanah tersebut. DBKL tidak boleh sesuka hati menghalau mereka, kemudian beri rumah baru begitu sahaja. Mereka memang berhak untuk kekal di tanah tersebut,"tambahnya lagi.
Menurut Fadiah, anak guamnya juga turut menyerahkan surat kepada DBKL untuk memastikan tindakan penguatkuasaan bagi kerja-kerja pembersihan pada 15 Mac nanti tidak dilaksanakan.
25 Februari lalu, penduduk LBJ menulis surat kepada pihak kementerian meminta tawaran secara hitam putih untuk membolehkan mereka berbincang tentang penyerahan wang ehsan berjumlah hampir RM1 juta kepada 116 bekas pekerja ladang atau waris sebagai tambahan kepada pampasan yang diberikan terdahulu.
Mereka juga turut memohon empat ekar tanah dari keluasan tanah seluas 26 ekar di LBJ bagi membolehkan 41 buah keluarga membina rumah di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, difahamkan tiada jawapan yang diberikan pihak Kementerian berhubung isu tersebut sehingga hari ini.
No comments:
Post a Comment