Wednesday, March 9, 2011

Ahli Parlimen BN Selar Tindakan Pembangkang Mengenai Pergolakan Di Negara Arab

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang yang cuba menyamakan pergolakan politik di negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara dengan Malaysia diselar oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang menyifatkan tindakan pembangkang itu sebagai tidak rasional dan tidak waras, berkata pergolakan di negara-negara berkenaan berlaku disebabkan pemimpin yang bersifat autokratik dan kuku besi.

"Kita tak boleh nak samakan keadaan mereka dengan Malaysia kerana kita di sini mempunyai empat negeri yang dikuasai oleh pihak pembangkang melalui pilihan raya iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

"Oleh itu, tindakan cuba menyamakan situasi di negara-negara terbabit dengan Malaysia adalah tidak rasional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) di Dewan Rakyat, Selasa.

Bung Mokhtar berkata hakikatnya, kerajaan sentiasa memantau permasalahan rakyat tanpa mengira ideologi politik masing-masing.

Apa yang dilakukan pembangkang, katanya hanya memikirkan kuasa semata-mata tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) yang turut menyelar tindakan itu pula berkata pembangkang hanya tahu menghasut rakyat terutama golongan muda supaya membenci kerajaan walaupun pada masa sama mereka menikmati segala kemudahan disediakan.

"Pembangkang juga pada pilihan raya kecil yang lalu menghasut anak-anak kecil dan pemuda untuk mengutuk kerajaan, memburukkan kerajaan dan menafikan sumbangan kerajaan.

"Mereka cuba mengambil pendekatan seperti mana berlaku di negara-negara luar sedangkan negara kita aman makmur, ini yang menyedihkan," katanya.

Menurutnya, pergolakan di negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara adalah disebabkan faktor politik dan ekonomi.

"Dari segi politik, Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara serta mengamalkan pemilihan pemimpin yang telus (menerusi pilihan raya) manakala dari segi ekonomi pencapaian kita jauh lebih tinggi daripada negara-negara terbabit," katanya.

No comments: