PUTRAJAYA — Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengingatkan ahli parti itu supaya melakukan transformasi politik dengan cepat dan lancar seiring dengan transformasi kerajaan.
Malah kata beliau, kini badan bukan kerajaan yang agak lebih lantang memperjuangkan hak orang Melayu sedangkan itu agenda Umno.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang dilihatnya sekarang, Umno tidak bergerak lancar, dan keadaan itu agak kritikal dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata keadaanya berbeza jika dibandingkan dengan transformasi di pihak kerajaan, di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan yang radikal dan luar biasa dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif, antaranya Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Katanya, perubahan yang dilakukan kerajaan itu memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang didokong oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam memajukan negara, selepas parti itu dilanda “tsunami politik” pada pilihan raya umum lepas.
“Umno sepatutnya sudah berubah, tetapi lambat. Umno ibarat kapal lama. Kita tidak dilihat bergerak lancar, jadi ini lebih kritikal jika hendak menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang kurang tiga tahun lagi.
“Kalau kita (Umno) tidak berubah, ada orang yang akan ubah kita. Mereka akan ambil alih (peranan kita),” kata beliau dipetik Bernama ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Putrajaya di sini.
Turut hadir ialah Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Muhyiddin berkata Umno tidak mempunyai banyak masa lagi, maka mereka perlu membuat perubahan dengan memahami dan menghayati kemahuan serta cita rasa rakyat supaya terus menyokong parti.
Beliau berkata tuntutan rakyat kini sudah berubah dan mereka mahu melihat kesediaan pemimpin Umno dan BN membuat perubahan dalam mentadbir negara pada masa depan.
Sebab itu, katanya Umno memperkenalkan program Juara Rakyat supaya pemimpin dan anggota parti dapat menyelami perasaan dan membantu serta menyelesaikan masalah rakyat.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Umno perlu lantang dan tidak perlu takut dalam mempertahankan hak orang Melayu kerana asas perjuangan parti itu adalah bagi membela bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.
“Sekarang saya nampak badan bukan kerajaan (NGO) yang agak lebih lantang memperjuangkan hak orang Melayu sedangkan itu agenda Umno.
“Kenapa kita dilihat lesu? Orang Melayu tidak sehebat dulu. Jadi mereka (orang Melayu) pergi ke badan-badan lain. Ini satu kesilapan,” katanya.
Beliau berkata Umno perlu terus ke hadapan memperjuangkan hak orang Melayu namun pada masa yang sama, mereka juga tidak boleh menafikan hak bangsa-bangsa lain dalam negara.
No comments:
Post a Comment