DETIK DAILY
Bermula 16 Julai lalu harga petrol RON95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal. Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram. Ini merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat. Namun disebalik itu, kerajaan juga mengarahkan editor media utama, agar tidak menggunakan istilah 'harga barang naik' tetapi menguar-uarkan pelarasan subsidi. Apa kata Dato' Prof Dr Hamdan Adenan dalam isu ini? Ikuti wawancara wartawan, INTAN ABDULLAH bersama Penasihat Fomca, yang diadakan baru-baru ini.
Mengenai pelarasan subsidi, penggunaan terma itu ada motif. Mengelirukan rakyat. Apa komen Prof?
DATO' PROF DR HAMDAN ADENAN: Ya, banyak yang tidak difahami oleh rakyat. Maka perlu diperjelaskan. Pertamanya mengenai subsidi. Walaupun naik lima sen atau 10 sen tetapi kalau benda ini banyak bagi golongan yang berpendapatan rendah sudah tentulah ianya membebankan. Oleh itu, untuk benda-benda yang dikatakan tidak membebankan, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah, maka penggunaan terma ini mengelirukan. Ini kerana bagi yang berpendapatan RM500 atau RM600 sebulan ia (kenaikan harga) adalah sesuatu yang membebankan. Oleh itu, kerajaan perlu jujur menyatakan ini adalah kesan tetapi mungkin kalau mahu menunjukkan berhemah dan kalau betul mengambil berat tentang pengguna (katakanlah) dia tidaklah sangat membebankan. Tapi jika menyatakan ianya langsung tidak membebankan pengguna, orang akan anggap ianya satu penipuan.
Ada persatuan peniaga dan pekhidmatan pengangkutan yang berjanji untuk tidak menaikkan harga makanan, tambang atau perkhidmatan selepas dimaklumkan mengenai kenaikan harga barangan ini. Apa jaminannya?
Saya tidak percayalah. Ini kerana mereka ini banyak janji politik sahaja. Apabila ada dua atau tiga perkara yang melibatkan kenaikan harga, pasti mereka akan naikkan juga (nanti). Ini terbukti setiap kali berlaku insiden seperti ini. Sekarang dia cakap mudah, kerana dia pun akan menanggung kos yang tinggi dan mempunyai pekerja yang meminta gaji yang lebih, yang perlu kenaikan sara hidup. Maka, ia akan terdorong juga (akhirnya) untuk menaikkan harga. Kalau kerajaan ada strategi, kenapa peniaga pulak yang dikatakan meminta subsidi? Kerajaan tidak sanggup berikan subsidi. Peniaga pulak yang hendak dikatakan sanggup subsidi. Masuk akal ke tu?
Ada cadangan agar dibuat penjimatan dengan membuat pembahagian subsidi kepada beberapa sektor tertentu. Apa reaksi Prof?
Kita pun tidak minta yang bukan-bukan. Melainkan hanya yang bersifat asas sahaja. Ekoran daripada tindakan Kerajaan selangor (bukan saya hendak puji) memberikan pengecualian pembayaran kepada pengguna yang menggunakan air dalam jumlah yang rendah. Maksudnya tidak perlu bayar. Itulah antara perkara yang kerajaan boleh buat. Kalau kerajaan negeri boleh buat, yang tiada duit sebanyak Kerajaan Persekutuan - saya rasa pelik juga.
Adakah dengan pelarasan subsidi ini selari seiring dengan tahap gaji pekerja di negara ini?
Kita (negara) belum ada gaji minimum. Apabila kita tiada gaji minimum, bagaimana kita hendak buat perkiraan. Bebannya kepada rakyat berpendapatan rendah dan kalau kita di sektor swasta tentu kerajaan tidak boleh paksa kerana tiada gaji minima. Bagi pihak kerajaan pula mungkin bolehlah kerana subsidi dan sebagainya telah ditolak.
Ada rungutan mengenai kenaikan harga ini kerana tidak dibawa terlebih dahulu untuk dibincangkan di dewan rakyat baru-baru ini.
Perkara ini ramai yang tanya saya, tetapi saya tidak dapat jawab. Kena tanya sendiri kepada Perdana Menteri lah dan tanyalah penasihat-penasihatnya. Tetapi fikirkanlah kerana ramai yang marah. Jangan marahlah kalau orang pilih parti lain.
Bagaimana dengan tuntutan yang disuarakan Dato Seri Anwar Ibrahim supaya Perdana Menteri sepatutnya mengumumkan cara penjimatan bernilai RM750 juta?
Saya rasa itu satu permintaan yang sangat wajar. Dia (Perdana Menteri) mengaku dia telus tapi perlulah telus dan jelaskan. Katakan jimat untuk pergi shopping ke atau hendak bagi pada rakyat untuk keselesaan hidup terutamanya rakyat berpendapatan rendah. Kalau untuk beri makan dan benda-benda yang khusus yang dapat dibantu (kerajaan), ini menguntungkan pihak berpendapatan rendah walaupun yang kaya akan turut menikmatinya. Tapi jangan lupa bagi golongan yang kaya perlu membayar cukai.
Apa sikap yang perlu diambil oleh rakyat khususnya pengguna dalam situasi sekarang ini?
Saya rasa rakyat perlu ambil kira daripada kertas yang sebenar. Kalau rakyat merasakan apa yang dikatakan itu tidak benar, maka rakyat terpaksalah menyuarakannya. Jangan diam sahaja. Dan apa yang penting, rakyat perlu juga memantau dari segi kesan perbelanjaan keluarga mereka yang mengalami berapa peratus kenaikan.
Adakah kerajaan perlu melakukan pemantauan?
Memang mereka akan pantau tetapi kita pun tidak tahu apa yang akan diumumkan. Itu tentu sekali dia akan mempertahankan tindakan yang dibuat...
Ada suara-suara yang tidak berpuas hati dengan pengumuman yang drastik sehingga menyebabkan terdapat taklimat khusus kerajaan menghalang penggunaan frasa 'barang naik' atau 'harga naik' bagi mengelakkan ketakutan respon negatif rakyat...
Itu maknanya tiada kebebasan media. Itu hak media untuk menggunakan apa yang penting. Rakyat bukan bodoh. Kita tidak kelabu mata dengan pertukaran perkataan. Barang naik katakanlah barang naik, kalau barang itu berharga sebelum ini RM 2 sekilo tiba-tiba dia naik RM2.50 sekilo dia nak kata apa? Kalau rakyat biasa tentulah dia kata barang naik.
Jadi pengguna perlu bijak dan kena sentiasa peka dengan perkembangan semasa?
Ya, juga kena suarakan pandangan selain kena bertindak apabila perlu. Kalau perlu pulau (boikot) pulaulah. Seperti mengurangkan penggunaan apa yang patut. Tapi apa yang Perdana Menteri kata, kerajaan naikkan gula kerana mahu rakyat menjaga kesihatan. Yalah, kita yang makan gula banyak yang berpenyakit.
Adakah ia satu strategi untuk memujuk rakyat supaya tidak marah dan terima tindakan itu?
Dulu pun begitu, kalau orang bekerja di pejabat memanglah bahaya gula banyak. Tetapi mereka yang tinggal di kampung bekerja dengan mengeluarkan peluh, seperti bertani dan berternak - kesan gula itu tidaklah begitu teruk. Mungkin mereka perlukan gula lagi. Pesanan kerajaan tersebut mungkin lebih kepada golongan yang tinggal di pejabat sahaja.
Pesanan Prof kepada kerajaan dalam isu ini...
Kita harap kerajaan harus telus dan dalam apa jua yang dilakukan dia mesti mendatangkan faedah kepada rakyat. Bukan membebankan rakyat dengan alasan kerajaan tidak mampu lagi untuk beri subsidi. Apabila rakyat lihat perbelanjaan kerajaan berlakunys pembaziran sudah tentu, rakyat berpandangan apa salahnya jika jimatkan sahaja pembaziran ini dan beri subsidi kepada barang-barang yang perlu dan asas kepada pengguna.
No comments:
Post a Comment