Friday, July 30, 2010

Pemuda Umno: Benarkan siswa, pensyarah berpolitik

MALAYSIA KINI


Pemuda Umno menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan guru siswazah Gred DG41 hingga DG48 aktif dalam parti politik.

Bagaimanapun, pergerakan itu berharap agar keputusan tersebut diperluaskan bagi merangkumi golongan mahasiswa dan pensyarah di institusi pengajian tinggi.

"Kami berpendapat bahawa sudah tiba masanya golongan mahasiswa dibenarkan terlibat secara bebas dalam politik
dan menggesa kerajaan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ke arah ini," kata pergerakan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai kebenaran guru berpolitik, pergerakan itu berharap pemahaman politik guru-guru tidak dibawa masuk ke bilik darjah.

"Walaupun mereka kini dibenarkan aktif dalam politik, tahap profesionalisme mesti sentiasa dijaga dan ditingkatkan," kata kenyataan itu lagi.

Menurutnya, ketetapan tersebut diputuskan dalam mesyuarat ahli jawatankuasa pergerakan tersebut hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, Pemuda Umno memutuskan memohon agar kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan sistem saman ekor ekoran masalah yang timbul kerana ramai tidak tahu menahu saman terhadap mereka.

Berikutan itu, katanya, pemilik kenderaan terbabit terpaksa membayar saman untuk membolehkan mereka membaharui cukai jalan dan mengelak daripada didakwa.

"Pemuda Umno menganggap perkara ini tidak adil terhadap pemilik kenderaan dan berharap kerajaan mengkaji semula dan menangguhkan pelaksanaan sistem saman ekor," tambahnya.

Pergerakan itu juga menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan tidak membenarkan saman ekor dikompaun.

"Keputusan ini juga amat membebankan rakyat yang tidak mampu menyelesaikan jumlah saman yang begitu besar apabila memperbaharui cukai jalan kenderaan," tambahnya.

Pergerakan itu turut memohon penjelasan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan berhubung arahan beliau kepada anggota perkhidmatan awam mengenai surat sokongan dari ahli politik.

"Arahan KSN memberi gambaran seolah-olah surat sokongan ahli politik adalah suatu tindakan menyalah gunan kuasa.

"Di sini Pemuda Umno membantah persepsi sesetengah pihak yang menganggap surat sokongan sebagai tindakan salahguna kuasa oleh ahli politik kerana seringkali wakil rakyat menyokong permohonan rakyat bukan atas pertalian politik tetapi semata-mata mahu membantu rakyat.

"Kes-kes ini bukan hanya melibatkan kontrak atau perolehan kerajaan tapi kebanyakannya adalah permohonan untuk biasiswa, pemindahan tempat kerja, kebajikan dan perumahan," tambahnya.

Menurut pergerakan itu, surat sokongan ahli politik juga diperlukan apabila pemohon gagal mendapat layanan yang baik dan adil dari jabatan kerajaan berkenaan.

"Walaupun Pemuda Umno berpendapat majoriti kakitangan awam bersikap profesional, ada segelintir Napoleon kecil yang tidak layan pelanggan mereka, yakni rakyat biasa, dengan baik dan adil.

"Adalah diharapkan KSN dapat memberi penjelasan dalam hal ini," tambahnya.

No comments: