Tuesday, April 6, 2010

SEMPORNA LAYAK DIGELAR BANDAR 3B?


SAMPAH…Masjid Pekan Semporna tempat beribadat tetapi sampahnya seperti yang anda lihat di atas amat tidak masuk akal jika tidak dapat di selesaikan oleh Adun dan juga Ahli Parlimen yang sibuk berpolitik.

Oleh: ABDULLAH SANI HAJI ABDUL SALLEH

DALAM satu kejadian yang berlaku di Pekan Semporna, baru-baru ini, sekitar jam tujuh malam, lori pengangkut sampah Majlis Daerah Semporna memuntahkan sampah yang amat busuk, buruk dan sangat berbau di atas jalan raya pekan itu.

Adalah amat tidak bertanggungjawab, setelah tiga jam selepas kejadian itu, lori berkenaan tidak balik untuk memungut dan membersihkannya semula dan saya terus berada di tempat kejadian.

Saya sangat sedih apabila melihat sikap yang tidak bertanggungjawab ini di hadapan mata saya sendiri, semasa sedang minum di Restoran Family Cafe yang betul-betul berada di tengah pekan Semporna dan berhadapan dengan stesen bas express Semporna.

Jesteru itu, saya tertanya-tanya apakah masyarakat yang harus didisplinkan dahulu atau Majlis Daerah itu sendiri yang harus didisplinkan terlebih dahulu mengenai masalah sampah di pekan ini.

Kejadian ini amat menyedihkan apabila dua orang pelancong barat yang sedang minum di restoran berkenaan terus membayar makanan mereka walaupun baru makan dan seterusnya beredar dari restoran ini.

Dari riak wajah dan air muka mereka, cukup menampakkan kemarahan, kekecewaan dan kejijikan mereka terhadap apa yang berlaku.

Saya juga pernah bertanya dengan pemilik restoran berkenaan, adakah perkara ini sering berlaku. Pemilik restoran mengatakan dia telah puas membuat laporan berkali kali kepada Majlis Daerah mengenai perkara ini tetapi masih tidak dipedulikan.

Bahkan beliau telah berhasrat menemui Adun dan Ahli Parlimen untuk meminta bantuan sewajarnya, tetapi tidak mendapat layanan.

Jesteru itu saya merayu dan menyeruh kepada pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan proaktif terhadap masalah yang dihadapi ini di mana perkara berkenaan memberikan gambaran dan kesan yang amat buruk kepada Daerah Semporna yang dikenali sebagai destinasi pelancongan bertaraf ‘dunia.’

Jika Majlis Daerah dan lorinya sendiri yang membawa keburukan dan sampah sarap yang amat menjijikan ini maka siapakah yang harus dipersalahkan?.

Tidak lama lagi Pekan Semporna akan dikunjungi puluhan ribu pengunjung setia ‘Pesta Regatta Lepa’ dari seluruh dunia, pengunjung tempatan akan sama-sama meraikan Pesta Lepa di daerah ini yang akan berlangsung pada 24 hingga 25 April 2010.

Dengan tempoh tidak sampai tiga minggu atau 20 hari lagi masalah sampah di daerah ini masih belum selesai, walaupun berbagai cara program dan kempen dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan pihak swasta.

Terbaharu mengikut laporan Pegawai Daerah Semporna, A.K.Ibnu Bin Haji A.M.Baba, agenda utama Majlis Daerah Semporna ialah ‘Kebersihan Sampah’, melantik 30 orang sebagai tambahan untuk membersihkan sampah di daerah ini.

Namun atas desakan masyarakat daerah ini yang tidak putus-putus melaporkan dari beberapa laman WEB dan FB, saya ingin mengambil kesempatan di sini supaya pihak Majlis Daerah terus bertindak mengikut pelan perancangannya untuk memastikan sampah di pekan Semporna dapat diselesai.

Beberapa laman FB melaporkan masalah sampah-sampah di Semporna menunjukkan bahawa masyarakat daerah ini sebenarnya bertanggungjawab mengenai isu, tetapi bagaimana kah kita hendak selesaikan masalah ini jika Majlis Daerah sendiri yang menjadi puncanya.

Pengerusi Majlis Daerah perlu peka dan mengambil tindakan wajar mengenai perkara ini kerana saya berpendapat tiada gunanya mengambil dan menambahkan pekerja dari 30 orang menjadikannya 60 atau 1,000 orang jika pihak berkuasa sendiri yang membawa kekotoran.

Usaha dan langkah yang berterusan yang diambil oleh laman Facebook, ‘Aku Anak Semporna’ adalah amat disanjung dan dihargai, teruskan usaha anda untuk mengingatkan masyarakat mengenai Kempen Kebersihan, melalui kesedaran kempen laman FB ini telah mendorong saya untuk menulis di Sabahkini.net, supaya pihak berkenaan dapat mengambil tindakan cepat terhadap masalah ini.

Kita tidak ingin melihat budaya keparat, semberono dan tidak beretika ini terus menjadi identiti masyarakat, pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan kita.

Di samping itu usaha mendidik masyarakat ke arah yang lebih bertanggungjawab juga perlu dibuat dari bulan ke bulan oleh pihak berkuasa menlalui kempen-kempen yang dianjurkan.

Mungkin tiba masanya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan mengenakan denda kepada Majlis Daerah yang kotor seperti Semporna atau menganugerahkan 3B iaitu bandar yang 'Buruk, Busuk dan Berbau.'

Program kempen ‘Semporna Marine Day’ oleh pengusaha-pengusaha pelancongan sepatutnya menjadi asas kepada kita untuk memberikan kerjasama dan melihat pekan Semporna menjadi pekan yang indah dan cantik.

No comments: