Saturday, April 3, 2010

Najib: Calon BN sudah diputus, TPM umum masa sesuai

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

HULU SELANGOR — Barisan Nasional (BN) sudah memutuskan nama calon yang bakal mewakili BN dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor tetapi ia akan diumumkan oleh Timbalan Pengerusinya Tan Sri Muhyiddn Yassin pada masa yang sesuai.

Penamaan calon ditetapkan 17 April ini manakala pengundian pula dijadual berlangsung 25 April.

Setakat ini hanya satu nama dikemukakan kepada Najib iaitu oleh MIC walaupun Umno juga mendesak agar kerusi itu dikembalikan semula kepada parti dominan BN itu.

Ketika ditemui wartawan di sini hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, timbalannya akan membuat pengumuman calon kerana beliau akan berada di luar negara.

Bagaimanapun Najib enggan memberikan butiran lanjut mengenai calon yang bakal diturunkan oleh BN di Hulu Selangor walaupun diulang tanya oleh pemberita.

“Timbalan Pengerusi Barisan Nasional akan membuat pengumuman kerana saya akan berada di luar negara,” katanya.

Najib juga membertahu beliau sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung soal calon dan telah memaklumkan tentang pemilihan BN bagi Hulu Selangor.

“Beliau (Muhyiddin) tahu apa keputusan itu,” kata Perdana Menteri sambil menegaskan, ia akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Najib berada di Hulu Selangor sejak pagi tadi.

Antaranya Najib sudah menemui Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu Selasa lalu.

Lazimnya calon BN bagi mana-mana pilihan raya kecil akan diumumkan oleh timbalan perdana menteri.

Muhyiddin berbuat demikian di Permatang Pasir dan Bagan Pinang.

No comments: