Wednesday, April 7, 2010

Kerajaan Pusat Mesti Pulangkan Semula Hak Rakyat Terengganu


http://buletinonline.net/images/stories/berita24/DSCN1291.jpgKUALA TERENGGANU - PAS menggesa kerajaan negeri Terengganu mengambil tanggungjawab yang serius, menuntut semula hak pembayaran royalti petroleum dari kerajaan pusat.


Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata tindakan tersebut adalah perjuangan menuntut dan memastikan keadilan bagi semua.

Sehubungan itu, beliau berkata, Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu membahas dan memutuskan satu resolusi mendesak kerajaan pusat memulangkan semula hak rakyat Terengganu.

“Ini suatu perjuangan untuk keadilan bagi semua (rakyat) dan kita (PAS) mempunyai suatu harapan yang besar supaya kerajaan negeri Terengganu mengambil suatu tanggungjawab yang serius,

“agar suatu perbahasan dapat diadakan dan diputuskan satu resolusi untuk mendesak kerajaan pusat supaya memulang balik (royalti) hak rakyat negeri Terengganu,” tegasnya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Terengganu, Selasa 6 April.

Usul Dr. Syed Azman

Kenyataan beliau adalah berikutan satu usul yang dikemukakan oleh Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkaitan isu terbabit, dalam sesi pagi Persidangan DUN.

Pemberian royalti wujud di negeri Terengganu dan negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak, kata Ustaz Abdul Hadi, adalah hasil dari satu persefahaman yang dilakukan di zaman almarhum Tun Abdul Razak.

Persefahaman tersebut, jelasnya, ditandatangani oleh semua Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri dari Perlis hingga ke Sabah.

“Apabila mereka (kerajaan pusat) bersetuju dengan perbincangan itu untuk menggubal Akta Petroleum dan menubuhkan Syarikat Petronas.

“Apabila negeri-negeri bersedia menyerahkan sekiranya ada hasil petroleum di daratan yang pada asalnya menjadi milik negeri.

“Persetujuan telah dibuat sekiranya ada hasil di darat atau di laut semuanya diserahkan kepada Petronas dan Petronas hendaklah menyerahkan royalti sebanyak lima peratus dari hasil jualan kepada mana-mana negeri yang ada hasil petroleum,” jelasnya.

Rampasan Royalti Satu Keputusan Politik

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang mendakwa bayaran royalti petroleum Terengganu ‘dirampas’ melalui satu keputusan politik pada Perhimpunan Agung Umno tahu 2000.

Bahkan, katanya sewaktu pemerintahan PAS Terengganu royalti masih dibayar pada bulan Mac tahun 2000.

“Di Terengganu, ianya berlangsung (bayaran royalti) sejak itu (perjanjian) hingga tahun 2000 apabila, kami (PAS) mengambil-alih pemerintahan di negeri Terengganu dan pada bulan Mac tahun 2000 masih dibayar royalti ini.

“Tiba-tiba dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000, mereka (pemimpin Umno) telah memutuskan melalui Mesyuarat Agung Umno itu satu keputusan politik untuk ‘merampas’ royalti ini dari negeri Terengganu,” ujarnya.


Pencabulan Undang-undang

Katanya, ini merupakan suatu pencabulan terhadap perjanjian yang telah dibuat serta pencabulan juga terhadap semangat federalisma.

Apa yang menarik, kata Dato’ Seri Abdul Hadi kenyataan ini disokong oleh bekas Ketua Hakim Negera, Tun Salleh Abas, disokong oleh bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan disokong juga oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam.

“Ini suatu perkembangan yang sangat menarik dan usul ini dibawa pada hari ini (Persidangan Dun) bukan di atas sentimen parti tetapi atas nama kewajipan seluruh rakyat negeri Terengganu tanpa mengira fahaman politik, tanpa mengira anutan mereka,” tegasnya.

Hadir sama pada sidang media tersebut Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak dan Adun Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

No comments: