KUALA LUMPUR - Rakyat hendaklah bersama-sama menggesa kerajaan menerangkan status sebenarnya wabak Influenza A (H1N1) dan denggi yang telahpun memakan korban, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).
Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga pelawak terkenal Allahyarham Din Beramboi yang meninggal akibat Dengue Shock Syndrome serta keluarga dua mangsa terbaru di Melaka yang meninggal dunia akibat jangkitan H1N1, beliau juga menggesa rakyat supaya menuntut kerajaan bersikap telus tentang persediaannya menghadapi kemungkinan gelombang kedua wabak H1N1.
"Adakah kerajaan telah membuat persediaan kerajaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua wabak H1N1 dan mengapa kerajaan kelihatan enggan memberi amaran awal kepada seluruh negara mengenai wabak tersebut di mana akhirnya Menteri Kesihatan terpaksa mengakui dua orang telah terkorban akibat H1N1.
"Begitu juga wabak denggi. Kalau Din Beramboi bukan seorang selebriti, mungkin rakyat tidak tahu bahawa wabak dengi sedang melanda.
"Terbaru, Ketua Penerangan PAS Perak yang juga Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim juga dijangkiti dengi dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Columbia di Taiping.
"Itu orang-orang yang dikenali ramai, bagaimana rakyat biasa yang tidak dikenali?" Salalahuddin mempersoalkan.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengingatkan kerajaan bahawa rakyat perlu tahu sejauh mana seriusnya wabak-wabak tersebut, berapa jumpah pesakit yang dijangkiti wabak-wabak tersebut dan berapa pula yang terkorban kerana wabak-wabak tersebut.
"Sehingga kini, tidak ada pembentangan khusus dari Menteri Kesihatan di dalam Dewan Rakyat mengenai wabak-wabak itu.
"Adakah hendak menunggu sehinga lebih ramai terkorban barulah kerajaan hendak menunjuk-nunjukkan keprihatinannya.
"Rakyat tidak perlu pertunjukan dari Perdana Menteri atau mana-mana menteri, rakyat mahu kerajaan mengambil langkah-langkah berkesan untuk menangani keadaan yang berlaku," tegas beliau.
Jika perlu, kata Salahuddin, seluruh rakyat perlu dilibatkan dalam usaha bersama dan serentak untuk menangani penularan wabak-wabak tersebut. |
No comments:
Post a Comment