SINAR HARIAN ONLINE
KULIM - Seorang remaja perempuan berumur 16 tahun sanggup menyorok dalam syiling bilik bagi mengelakkan dirinya dicekup kerana berkhalwat dengan teman lelakinya dalam kejadian di Taman Selasih, petang kelmarin.
Ketika serbuan di buat kira-kira jam 2 petang, dia yang bermalam di rumah teman lelakinya yang berumur 22 tahun hingga sanggup ponteng sekolah untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu.
Pegawai Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) Kedah, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya menerima aduan melalui orang awam kira-kira jam 1.30 petang dan tiba setengah jam kemudian bersama penduduk serta dibantu dua anggota polis dari Pondok Polis Inisiatif Bandar Selamat (IBS) Taman Selasih.
Menurutnya, PADK terpaksa menunggu hampir sepuluh minit sebelum pintu rumah dibuka sebelum PADK mendapati pasangan perempuan cuba bersembunyi dalam siling manakala teman lelakinya berjaya melarikan diri ikut pintu belakang rumah ke arah semak.
“Ketika sampai di rumah itu, kami mendapati pintu pagar tidak berkunci.
“Saya bersama beberapa anggota PADK memperkenalkan diri dan meminta mereka membuka pintu rumah. Kami memanggil beberapa kali tetapi pasangan itu tidak mengendahkan,” katanya.
Menurutnya, dari soal siasat dijalankan terhadap pasangan perempuan mendapati dia datang ke rumah teman lelakinya dua hari lalu dan bermalam di situ kerana ibu bapa teman lelakinya tiada di rumah.
Remaja perempuan itu turut mengaku pernah tidur bersama teman lelakinya, malah keadaan katil di bilik hadapan di mana pasangan perempuan ditangkap, berada dalam keadaan tidak terurus.
“Pelajar perempuan itu dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan sebelum mengarahkan warisnya datang ke PADK.
“Saya akan mengarahkan Ketua Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab untuk membuat pemantauan terhadap pasangan lelaki yang berjaya melarikan diri. Kami juga memanggil ibu bapa pasangan perempuan dan menerangkan tangkapan dibuat terhadap anak mereka,” katanya.
Sheikh Radzi berkata, bapa pelajar perempuan itu memaklumkan, anaknya hendak pergi ke rumah rakan namun dia tidak pulang ke rumah hingga keesokan harinya.
Beliau mengarahkan pasangan perempuan dan keluarganya datang ke PADK dan berjumpa Ketua Penguat kuasa Agama untuk membincangkan tindakan yang akan diambil terhadapnya.
Sheikg Radzi juga menasihatkan kepada semua ibu bapa agar jangan terlalu mempercayai apa jua tindakan yang dilakukan anak-anak.
“Mereka harus lebih peka terhadap gerak geri anak mereka dan harus tahu ke mana mereka pergi dan dengan siapa mereka berkawan.
“Sekiranya mereka terlibat dalam kegiatan maksiat, PADK tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mereka di mahkamah terhadap kesalahan yang mereka lakukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment