Monday, March 15, 2010

Skim pencen pekerja swasta dirangka

UTUSAN ONLINE


PETALING JAYA - Kementerian Sumber Manusia sedang merangka beberapa skim bantuan termasuk skim pencen pekerja swasta, warga emas dan mereka yang bekerja sendiri selain bantuan untuk mereka yang diberhentikan kerja.

Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya menjangkakan beberapa skim perlindungan untuk pekerja swasta itu dapat dibentangkan di Dewan Rakyat seawal pertengahan tahun depan.

Tegasnya, skim pencen pekerja swasta merupakan antara komitmen jangka panjang kementerian dalam menjaga kebajikan pekerja di negara ini yang sedang dikaji pelaksanaannya.

"Kerajaan memahami caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin tidak cukup untuk menampung keperluan hidup pekerja selepas bersara terutama dengan peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia.

"Pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula melibatkan pekerja yang hilang upaya untuk bekerja. Oleh itu, kerajaan akan mengkaji kaedah terbaik bagi menyediakan jaring perlindungan untuk pekerja selepas bersara kelak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kemahiran menjahit dan menggubah bunga kepada 80 peserta wanita di bawah program menambah pendapatan isi rumah keluarga bandar berpendapatan rendah di sini hari ini.

Beliau turut menolak cadangan supaya negara mencontohi skim perlindungan pekerja di negara maju disebabkan potongan gaji yang diamalkan negara tersebut terlalu tinggi.

"Negara maju memotong sehingga 40 peratus gaji pekerja dan digunakan sepenuhnya untuk bayaran premium skim perlindungan insurans pekerja. Cara ini tidak sesuai untuk negara kita kerana gaji di sini lebih rendah.

"Kita membuat potongan sehingga 20 peratus untuk KWSP tetapi wang ini akan diberikan kembali kepada pekerja (selepas bersara)," katanya.

Dalam pada itu Subramaniam menegaskan, kerajaan tetap dengan keputusan mengekalkan cuti bersalin pekerja swasta selama 60 hari.

Beliau bagaimanapun bersedia berbincang dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan pihak lain yang menuntut cuti bersalin ditambah kepada 90 hari bagi mengkaji kesesuaian cadangan tersebut.

No comments: