Sunday, March 14, 2010

Pusat pengumpulan kraftangan khusus hasil rimba dicadangkan di Sabah

BERNAMA

PENAMPANG - Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Wences Anggang hari ini mencadangkan supaya sebuah Pusat Pengumpulan Kraftangan yang memberi tumpuan khusus kepada hasil rimba diwujudkan di Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah berkata langkah itu wajar diberi perhatian kerana pusat itu dilihat pasti dapat membantu pengusaha mempromosi hasil kraf mereka dengan lebih agresif.

"Saya harap semua jabatan dan agensi yang berkenaan dapat duduk bersama bagi berbincang usaha mewujudkan pusat pengumpulan kraftangan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan pasar tamu (bazaar) kraftangan di perkarangan Pusat Kebudayaan Sabah di sini hari ini.

Sementara itu merujuk kepada pasar tamu Wences berkata, 40 pengusaha kraftangan menyertai pasar tamu hari ini, yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempromosi dan membantu meningkatkan jualan kraftangan dalam negeri.

"Walaupun tamu ini pertama kali diadakan di sini namun sambutan amat menggalakkan, dan antara hasil kraftangan yang popular di kalangan pengunjung ialah hasil kraf yang diperbuat dari hasil rimba, terutama rotan," katanya.

No comments: