Saturday, March 13, 2010

PAS tolak kerajaan perpaduan sebab Umno ‘sesat-sesesatnya’, kata Nik Aziz

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menggariskan lima sebab mengapa partinya menolak kerajaan perpaduan dengan Umno, termasuk kerana perjuangan parti utama Barisan Nasional (BN) itu “sebenarnya amat dhalalah atau sesat sesesatnya”.

Nik Aziz berkata, Umno menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama, yang sekali gus menyebabkan banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan-rakan daripada kalangan bukan Islam.

Beliau membangkitkan pendirian membantah syor kerajaan perpaduan sejurus selepas 8 Mac 2008 dan juga ketika Muktamar PAS 2008 di Ipoh.

Kerajaan perpaduan PAS-Umno memfokus negeri Kedah, Perak dan Selangor.

Isu kerajaan perpaduan PAS-Umno di Perak turut dibangkitkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria Khamis lalu, yang kemudiannya dikritik Nik Aziz sambil menyifatkan Mufti Perak itu bertindak macam “ejen” Umno.”

Nik Aziz, antara pemimpin dalam PAS yang menentang keras sebarang usaha ke arah kerajaan perpaduan PAS-Umno turut menyenaraikan satu alasan lama yang beliau sering membangkitkannya.

Selain alasan Umno “sesat”, kata Menteri Besar Kelantan, tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS.

“Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS.

“Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977.

“Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno,” katanya.

Namun menurut beliau, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno dengan PAS telah ditendang keluar.

“Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN,” katanya.

Oleh itu Nik Aziz yang memimpin Kelantan sejak 1999 memberitahu PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

Begitu pula sejak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, katanya, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP.

Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti tetapi pemimpin Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan Gerakan.

“Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN,” katanya.

Nik Aziz menambah, kini PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat sambil menyifatkannya sebagai satu perkembangan baik memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam.

“Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam.

“Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam,” katanya.

No comments: