Oleh Datuk Halik Zaman
Terpanggil saya untuk menjeling tulisan penulis upahan ringgit, Ruslan Kassim yang disiarkan di Utusan Malaysia aka agent utama Umno-BN.
Begitu yakin beliau menyenaraikan satu persatu sinopsis dalam perjalanan politik Pakatan Rakyat.
Jadi ini tidak adil, ini serupa berat sebelah kalau tidak di jawab.
Maka untuk menyamatarafkan situasi, saya juga ingin merencanakan sinopsis perjalanan politik Umno-BN yang menjadi pujaan hati Ruslan Kassim itu.
Kupasan pertama, saya ingin menyentuh isu derhaka. Jika diimbau kembali, siapa yang mula-mula menderhaka kepada Sultan?
Siapa? Ingatkah suatu ketika dahulu, Annuar Musa pernah menabalkan sendiri Sultan Kelantan pilihannya di Ketereh dahulu? Sehinggakan keadaan agak huru-hara di Kelantan. Adakah ianya tidak di kira menderhaka?
Siapa yang memansuhkan kuasa Raja-Raja Melayu? Bukankah Dr Mahathir? Siapa yang dengan lantang dan gagah perkasa (atau sengaja mahu tunjuk kuasa) membidas Sultan Kelantan dalam isu Lamborghini sedikit masa dahulu? Saya percaya jawapannya ada dalam genggaman Shahidan, Muhammad Mohd Taib dan Idris Jusoh.
Mereka arif dengan jawapannya. Apakah ini tidak di kategorikan sebagai penderhaka Raja atau Sultan?
Tapi tidak ternampak warna derhaka kerana mereka semua ini berlindung di bawah kekebalan kuasa veto Umno. Kerana itulah apa yang mereka lakukan terhadap Raja dan Sultan semuanya halal dimata masyarakat pada ketika itu.
Bila kes Nizar Jamaluddin, balaci-balaci Umno terus bangun dan kononnya merekalah penyelamat Sultan. Mereka lupa apa yang pemimpin Umno pernah lakukan terhadap Raja dan Sultan dahulu? Salah satu sikap hipokrit Umno!
Sudahkah anda lupa kemelut Umno Terengganu? Pemboikotan beramai-ramai ADUN Terengganu. Kenapa dan mengapa ianya berlaku? Sebab ketidaksefahaman antara MB dan ADUN-ADUNnya. Siapa hantar SMS ugut mengugut lagi. Ini apa?
Umno ingin jadi Juara Rakyat? Mengambil contoh di Johor, adakah Umno lupa ada tanah yang telah tergadai kepada warganegara Singapura dan Hong Kong? Siapa punya angkara? Pakatan Rakyat? Tepuk dada tanya selera.
Kalau mahu bicara mengenai percakaran sesama sendiri dalam BN pun banyak untuk di senaraikan. Masih ingatkah kes perang-mulut Samy Vellu dan M. Kayveas sehinggakan bertukar-tukar kenyataan dimedia elektronik dan cetak? Itu apa? Bukankah pergeseran sesama parti komponen?
Kes Samy Vellu dan bekas timbalannya, S. Subramaniam. Sehingga timbulnya injunksi mahkamah. Krisis ini berlarutan sehingga Perhimpunan Agung MIC baru-baru ini di mana ada proses pemilihan baru pucuk pimpinan parti untuk penggal yang baru. Berlaku juga insiden sindir-menyindir, sehinggakan Samy Vellu juga selaku Presiden turut ikut berkempen untuk G. Palanivel.
Bukankah ini sudah melanggar hak kebebasan perwakilan dalam memilih calon-calon yang mereka kehendaki. Ini kita panggil apa? Di manakah demokrasi?
Kes M.Kayveas dan T. Murugiah – insiden satu parti dua Presiden. Mengapa ianya berlaku? Ianya adalah kerana tiada kesepakatan dalam parti maka terjadinya dua puak. Puak Kayveas dan puak Murugiah. Bukankah ini juga di panggil konflik dalaman parti juga BN?
Kes Ahmad Said vs Idris Jusoh. Mengikut beberapa kenyataan rasmi dari Ahmad Said yang membidas beberapa projek yang dibangunkan di Terengganu semasa Idris Jusoh menjadi Menteri Besar yang mana menurut Ahmad Said amat merugikan rakyat.
Bukan setakat itu sahaja banyak lagi hasil tangan Idris Jusoh dipertikaikan oleh Ahmad Said. Ini cerita apa? Bukan kes senggol-senggolan sesama sendiri?
Kes pergolakan dalaman MCA sehinggakan berlakunya pemecatan dan perletakan jawatan beramai-ramai. Bukankah ini juga sebahagian daripada apa yang di gelarkan sebagai kemelut politik?
Ahli-ahli MCA telah hilang kepercayaan di atas kepimpinan Ong Tee Kiat. Berlaku beberapa kronologi kemelut yang amat bergelora dalam MCA. Ini bagaimana?
Begitu juga semasa Pak Lah masih menjadi PM. Rakyat sedar akan wujudnya komplot yang mahukan Pak Lah berundur sebelum tiba waktunya. Kumpulan ini mendapat restu dari bekas PM, Dr Mahathir sehinggakan beliau sendiri menunjukkan belang dengan tindakannya keluar dari Umno kerana tidak setuju dengan pentadbiran Pak Lah.
Malah ada lagi pemimpin yang berani membuat kenyataan supaya Pak Lah berundur dengan segera dan yang lebih menarik lagi, kenyataan itu di buat di negeri orang, di Singapura! Bagus betul tu, melanyak ketua sendiri di negeri orang. Itu pun masih ok ka?
Lihatlah mereka sesama Umno lagi hebat bila hentam-menghentam sesama sendiri. Tidak cukup di dalam negara mereka buat di luar negara. Hebat bukan pemimpin-pemimpin Umno? Cukup hebat.
Begitu juga dengan pembantahan PPSMI. Hampir rata-rata cendikiawan Melayu dan pencinta bahasa membantah PPSMI. Malah Datuk A. Samad Said juga turut bangkit menentang. Adakah Umno peduli semua ini? Jawapannya Umno tak kisah dan tidak ingin kisah kerana ianya tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada para pemimpin Umno dan kroni.
Justeru demi untuk menutup segala kepincangan dalaman Umno dan BN maka mereka bertungkus-lumus menjalankan agenda mereka bagi membasmi PKR dan Pakatan Rakyat. Mereka sedaya-upaya membeli wakil-wakil rakyat yang tipis imannya untuk melunaskan impian mereka melihat PKR pecah kerana menurut andaian mereka PKR dan Pakatan Rakyat ibarat retak menanti belah.
Dalam sibuk-sibuk dengan misi menjatuhkan PKR, rakyat telah di sajikan dengan kehilangan enjin jet tentera dan ketidakupayaan kapal selam negara untuk menyelam. Kenapa? Terkena badi PKR dan Pakatan Rakyat agaknya.
Sesungguhnya mereka terlupa, semakin PKR dan Pakatan Rakyat di aniaya semakin kental kepercayaan rakyat PKR dan Pakatan Rakyat perolehi. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment