PETALING JAYA: Kerajaan akan memperkenalkan skim pencen bekerja sendiri dan usia tua, kemungkinan pertengahan tahun depan di bawah konsep kerajaan penyayang, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.
Beliau berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kajian aktuari mengenai dua skim itu sebelum ia dilaksanakan.
“Kami kini di dalam proses memperkenalkan tabung pemberhentian bagi pekerja sektor swasta," katanya selepas menyampaikan sijil kepada 80 wanita yang menamatkan kursus latihan kemahiran yang dijalankan oleh kementerian di sini, hari ini. Mengulas cadangan dana pencen usia tua, Dr Subramaniam berkata, Perkeso perlu menentukan umur minimum dan tempoh pembayaran bagi para pencarumnya.
Bagi skim keselamatan khas sosial bagi mereka yang bekerja sendiri tetapi
tidak mencarum dengan Perkeso, beliau berkata, kajian teliti perlu dijalankan kerana ia membabitkan isu seperti tempat dan tempoh bekerja.
“Ramai daripada mereka yang bekerja sendiri bekerja dalam tempoh masa yang panjang dan tidak bekerja di satu tempat yang tetap. Jadi, kita perlu meneliti perkara ini," katanya.
Dr Subramaniam berkata, kementeriannya kini sedang dalam proses membuat satu draf mengenai kedua-dua skim pencen yang baru ini untuk dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.
“Skim ini mesti berterusan. dengan itu, banyak proses terbabit termasuk peruntukan dana dan meminda beberapa akta yang perlu,” katanya.
Katanya, niat kerajaan adalah bagi memastikan pekerja sektor swasta menikmati faedah pencen yang mirip dengan rakan mereka di dalam perkhidmatan awam.
Dr Subramaniam juga berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak bagi memperuntukkan dana tambahan kepada kementerian bagi memulakan program baru terutama bagi wanita di kawasan bandar tahun ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment