Sunday, March 14, 2010

Himpunan bantah GST esok ditangguh

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Perhimpunan aman bagi membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dirancang diadakan esok, ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditentukan, kata penyelaras Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), Dr Mohd Hatta Ramli.

Keputusan itu dibuat Protes ekoran penangguhan pembentangan rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan itu untuk bacaan kedua pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Perkara itu diumumkan Protes pada sidang media mereka di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut sebentar tadi.

Hatta menyifatkan penagguhan yang dibuat kerajaan sebagai suatu kemenangan kepada rakyat.

"Protes melihat penangguhan (bacaan kali kedua GST di Parlimen) ini sebagai kemenangan awal perjuangan rakyat, bukan kepada Protes sahaja tetapi kepada semua yang terlibat khususnya Pakatan Rakyat yang telah menubuhkan sekretariat dalam isu ini.

"Kita mengganggap kerajaan buat masa ini mengalah terhadap tuntutan rakyat. Syabas kepada rakyat," katanya.

Bendahari PAS Pusat itu berkata, Protes perlu bersikap 'reasonable' dan bersedia menimbangkan suasana yang berubah.

"Tujuannya himpunan esok kerana kita nak membantah pembentangan kali kedua di sidang parlimen dan bantahan kita itu telah berjaya bila kerajaan tidak jadi bentang. Jadi kita tak boleh bersikap unreasonable.

“Kerajaan sudah mengaku kalah pada peringkat ini, jadi kita menerimalah," katanya.

Namun Protes, ujarnya akan terus melaksanakan kempen sehingga kerajaan benar-benar memansuhkan perlaksanaan cukai itu.

"Kita tak kata kita hentikan kempen membantah GST ini. Yang kita tak buat cuma himpunan esok. Tapi kempen akan tetap berjalan seperti biasa. Risalah, banner akan diedarkan kepada seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang telah membuat persediaan untuk hadir ke himpunan esok.

"Saya bagi pihak Protes mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang telah bersusah payah mengatur perjalanan untuk hadir ke himpunan esok. Saya difahamkan ada yang akan datang dari luar Kuala Lumpur dan telah memohon cuti.

Protes, katanya memberi amaran kepada kerajaan agar tidak bermain-main dengan keputusan yang dibuat.

"Kalau kerajaan cuba mempermainkan isu ini, saya yakin rakyat akan marah dan kita akan turun dengan lebih besar lagi. Jadi kita beri amaran agar kerajaan tak bermain-main dengan keputusannya menangguhkan pembentangan. Kalau kerajaan beriya-iya hendak bentang, kita akan bagi respons yang berlipat kali ganda.

"Saya yakin penangguhan himpunan esok tidak akan melemahkan semangat rakyat untuk membantah GST," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan pula berkata, matlamat Protes untuk membatalkan GST belum tercapai dan mereka akan terus berjuang sehingga ianya dibatalkan.

"Matlamat kita agar kerajaan batalkan GST belum tercapai. jadi kita akan teruskan perjuangan kita. Cuma untuk pusingan kita, kita menang," katanya.

Sebelum ini, Protes mengumumkan akan mengadakan perhimpunan aman selama sejam, mulai 9 pagi di sekitar kawasan jejambat Lebuh Raya Mahameru, berdekatan bangunan Parlimen, sebelum sidang baru Dewan Rakyat bermula esok.

Mereka mensasarkan kira-kira 2,000 orang akan menyertai perhimpunan itu termasuk ahli parlimen Pakatan Rakyat dan anggota pertubuhan hak asasi manusia dan parti-parti pembangkang yang membantah pelaksanaan GST.

Ianya juga bagi menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang akan merasmikan perbahasan Dewan Rakyat sesi ini.

No comments: