BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kes Semakan Semula Kehakiman Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar dan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) ditangguhkan sehingga 27 Mac untuk disebut, berikutan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai isu perlembagaan dalam saman Nizar-Zambry.
Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan membenarkan permohonan peguam pemohon Razlan Hadri yang meminta kes itu ditangguhkan dalam kamar beliau di sini hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad tidak membantah permohonan tersebut kerana isu bagi dua kes itu mungkin ada kaitan dengan isu yang akan ditentukan oleh mahkamah yang lebih tinggi.
Saman Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar kesahihan pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak dan kerajaan negeri baru telah dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk menentukan empat isu perlembagaan.
Perkara ini dijadual didengar pada Isnin. Sementara itu rayuan Nizar mengenai perintah rujukan itu sedang didengar di Mahkamah Rayuan hari ini.
Hari ini, Azizan berkata Pejabat Peguam Negara akan membantah terhadap kebenaran permohonan Sivakumar dan ADUN itu untuk satu semakan kehakiman.
Sivakumar telah memfailkan satu permohonan semakan kehakiman terhadap tiga ADUN itu yang menjadi anggota Bebas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memohon agar suruhanjaya itu mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.
ADUN itu ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang).
Permohonan yang sama dengan satu penyelesaian sama juga difailkan oleh tiga ADUN Chen Fook Chye (DAP-Keranji), Tai Sing Ng (Parti Keadilan Rakyat-Kuala Sepetang) dan A.Sivanesan (DAP-Sungkai) dan tiga pengundi Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang) terhadap Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee.
Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) berusia setahun itu tumbang awal bulan lepas apabila Jamaluddin, Osman dan Hee berikrar memberikan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).
Barisan Nasional yang mempunyai 28 ADUN menubuhkan kerajaan dengan sokongan ADUN Bebas itu dan PR juga mempunyai 28 ADUN. Pada 3 Feb, Sivakumar memberikan notis kepada SPR bahawa tiga kerusi DUN itu kosong berikutan bermaksud telah menerima surat peletakan jawatan Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee sebagai ADUN.
SPR, bagaimanapun, meragui peletakan jawatan itu dan enggan mengadakan pilihan raya untuk kerusi tersebut.
Dalam permohonan itu, Sivakumar mahu mahkamah mengeluarkan perintah untuk certiorari keputusan SPR tidak mengadakan pilihan raya bagi ketigatiga kerusi itu dan mengeluarkan satu perintah baru (mandamus) memaksa mengadakan pilihan raya.
Beliau juga meminta satu writ "quo warranto" memaksa ketigatiga ADUN itu menunjukkan alasan bahawa mereka masih lagi mewakili kawasan pilihan rayanya dan boleh menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugastugas sebagai wakil rakyat.
No comments:
Post a Comment