Friday, March 20, 2009

Mahathir belum putuskan hadir atau tidak Perhimpunan Umno

BERNAMA


PETALING JAYA: Bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau menerima jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno minggu depan sebagai pemerhati tetapi belum memutuskan sama ada akan hadir atau tidak.

"Ya, saya dijemput sebagai bukan ahli Umno. Saya dijemput sebagai pemerhati. Tetapi saya belum memutuskan lagi (sama ada akan hadir atau tidak)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Wisma Persatuan Bekas PelajarPelajar Maktab Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) di Petaling Jaya hari ini.

Perasmian Wisma SAHOCA disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai semula Umno kerana Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan Presiden, Dr. Mahathir berkata: "Saya mahu lihat dulu (kerana) beliau belum mengundurkan diri lagi."

Bekas Perdana Menteri itu mengumumkan keputusannya keluar Umno pada 19 Mei tahun lalu atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

Ditanya pandangannya mengenai pentingnya Perhimpunan Pribumi Perkasa yang akan berlangsung di sini Ahad ini, Dr. Mahathir berkata: "Orang Melayu berada dalam kecemasan. (Mereka) dalam keadaan yang sangat keritikal. Mereka bimbang mengenai masa depan mereka.

"Perhimpunan ini untuk memperingati orang Melayu tentang kedudukan mereka, betapa mereka perlu hapuskan amalan yang boleh merosakkan orang Melayu.

"Ini bukan perhimpunan Umno. Ia (Perhimpunan) Melayu (Pribumi) Perkasa."

Menurutnya, selama 50 tahun orang Melayu mentadbir negara, tidak timbul masalah kerana ia bukan sahaja menjaga kepentingan orang Melayu tetapi pada masa yang sama turut menjaga kepentingan orang lain.

No comments: