Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat merancang penghantaran lebih 4,000 tentera tambahan ke Afghanistan, dipercayai termasuk dalam dasar terbaru negara itu terhadap Afghanistan yang bakal diumumkan Presiden Barack Obama, hari ini.
Penghantaran 4,000 askar itu sebagai tambahan kepada 17,000 askar sedia ada di Afghanistan selepas ancaman militan Taliban dikatakan semakin sengit sejak Amerika menyerang negara itu pada 2001.
"Obama akan menggariskan beberapa strategi terbaik dalam kajian semula dasar AS terhadap Afghanistan supaya ancaman pengganas terhadap Amerika mampu dibendung," kata jurucakap Rumah Putih, Robert Gibbs mengenai pengumuman Obama berkenaan.
Gibbs bagaimanapun enggan memberi butiran terperinci mengenai kandungan yang bakal diumumkan Obama.
Senator Demokrat, Carl Levin, yang mengetuai Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera di Senat memberitahu pemberita bahawa dalam strategi baru itu, lebih 4,000 tentera AS akan dihantar ke Afghanistan tahun ini.
Ketika ini ada lebih 80,000 tentera antarabangsa di Afghanistan dan ia dijangka mencecah kepada 134,000 menjelang 2011.
No comments:
Post a Comment