UTUSAN ONLINE
BENTONG - Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yakin akan memenangi jawatan tersebut pada pemilihan Mac ini.
Sekiranya terpilih, beliau berikrar akan menjadikan Pemuda UMNO lebih mantap dan membantu memperkasakan parti serta memajukan negara.
Mukhriz berkata, keyakinan itu berdasarkan hasil perjumpaan beliau dengan para perwakilan pergerakan itu dalam siri jelajah memperkenalkan calon yang berlangsung di seluruh negara sekarang.
Bagaimanapun, beliau mengakui berhadapan dengan saingan sengit daripada dua lagi calon iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
''Tempoh kempen yang panjang menyebabkan sokongan boleh berubah-ubah dan ada pasang surutnya.
''Pada mulanya saya cemas melihat sokongan yang nampaknya macam menurun tetapi melalui siri majlis suai kenal dengan para perwakilan Pemuda UMNO menampakkan sokongan itu meningkat kembali," kata Mukhriz.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis suai kenal calon-calon Exco Pergerakan Pemuda UMNO dengan perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang di Bangunan UMNO Bahagian Bentong di sini, malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu dua calon Naib Ketua Pergerakan Pemuda iaitu Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Razali Ibrahim yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor serta Pengerusi Tetap Pemuda, Datuk Fatah Abdullah yang turut bertanding mempertahankan jawatan tersebut.
Khairy dan Mohamad Khir tidak hadir pada majlis itu.
Selain itu, 20 calon yang akan bertanding merebut jawatan Exco Pemuda dan 45 daripada 59 perwakilan Pergerakan Pemuda yang mewakili 12 Bahagian Pemuda UMNO Negeri Pahang hadir pada majlis perjumpaan tersebut.
Menurut Mukhriz, majlis suai kenal calon-calon yang bertanding pada pemilihan UMNO bulan depan merupakan platform terbaik untuk membolehkan calon dan perwakilan mengenali antara satu sama lain secara lebih mesra.
Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, majlis seperti itu bukan sahaja membolehkan calon-calon bersemuka secara langsung dengan para perwakilan malah perwakilan pula boleh menilai calon terbabit lebih dekat.
''Melalui majlis itu juga calon-calon dapat bermesra dan berkempen secara ikhlas serta menyampaikan wawasan masing-masing kepada para perwakilan, selain perwakilan dapat menilai calon-calon secara menyeluruh," katanya.
No comments:
Post a Comment