Monday, February 23, 2009

'Saya tiada niat pun nak singgung Nik Aziz'

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - "Demi Allah saya tak ada niat pun nak sentuh tubuh badan tok guru, mungkin dia saja nak test (uji) pengaruh saya."

Demikian reaksi Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengenai desakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya beliau meletakkan jawatan.

Pemimpin Pas itu juga mencabar Ibrahim menguji kekuatan pengaruh politiknya dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Katanya, jika benar itu kehendak Menteri Besar Kelantan, maka Nik Abdul Aziz perlu mencari jalan agar Parlimen meminda undang-undang supaya wakil rakyat yang meletak jawatan boleh bertanding secepat mungkin tanpa perlu menunggu selepas lima tahun.

"Ini sebenarnya perangkap Pas untuk 'membuang' saya daripada parti itu.

"Walaupun saya bertanding atas tiket Pas namun sebagai dasar menghormati, kasih dan sayang kepada beliau, saya tak pernah kata macam- macam kepadanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas cabaran Nik Abdul Aziz kelmarin agar beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen yang dimenangi atas tiket Pas pada pilihan raya umum lalu.

Menteri Besar Kelantan membuat cabaran itu kerana Ibrahim dikatakan selalu mengkritik selain tidak sehaluan dengan kepimpinan Pas sama ada di peringkat negeri atau Parlimen.

Menurut Ibrahim, tidak mungkin beliau meletak jawatan kerana ramai yang menyokong beliau berbuat demikian.

Katanya, daripada 307 khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima sejak semalam, hanya 11 SMS yang tidak bersetuju dengan tindakannya itu.

Katanya, Pas perlu menerima secara terbuka kritikan terhadap parti itu kerana tidak semua orang suka terhadap cara Pas dikendalikan.

Ibrahim memberitahu, beliau didatangi beberapa pimpinan Pas pusat dan negeri mendesaknya mendedahkan kepincangan di Kelantan, namun beliau menolak untuk berbuat demikian.

Ini kerana, tegasnya, selain menghormati Mursyidul Am Pas, beliau juga tidak mahu mencampuri urusan pentadbiran negeri selain tidak mahu menyusahkan rakyat Kelantan.

"Kalau saya jahat mulut dah lama saya buat tapi sebab kasih dan hormat kepada tok guru, saya mendiamkan diri dan hanya bising di Parlimen sebab saya Ahli Parlimen," katanya.

Ibrahim menambah, antara beliau dan Pas, kedua-duanya sama berbudi kerana kerjasama ketika pilihan raya lalu saling lengkap melengkapi untuk memastikan parti itu terus kekal memerintah di negeri ini.

"Antara saya dan Pas, kita sama-sama berbudi. Jangan fikir hanya Pas berbudi kepada saya sebab semasa kempen pilihan raya lalu saya tidak gunakan jentera Pas malah duit deposit pun dari poket sendiri," katanya.

No comments: