Monday, February 23, 2009

Pindah minyak haram

Oleh HAMDAN TAWADI


JOHOR BAHRU – Sebilangan ejen kapal dari Singapura didapati mengaut keuntungan berjuta ringgit dengan menjadi dalang aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal secara haram di perairan Pengerang, Kota Tinggi, dekat sini.

Mereka dikatakan menawarkan khidmat pemindahan minyak lebih murah, cepat dan mudah tanpa perlu mematuhi prosedur serta undang-undang ditetapkan.

Dalam kebanyakan kes, aktiviti tersebut melibatkan pemindahan minyak daripada jenis ‘Marine Fuel Oil’ untuk menggerakkan enjin kapal.

Modus operandinya ialah dengan melakukan kerja-kerja pemindahan minyak di luar kawasan pelabuhan dan dengan cara itu tidak perlu permit dan membayar caj perkhidmatan untuk berlabuh di situ.

Dalam erti kata mudah, pelanggan dapat mengelak daripada membayar ‘parking’ ribuan ringgit di pelabuhan negara ini.

Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Che Hassan Jusoh berkata, siasatan awal percaya kegiatan itu mempunyai kaitan dengan ejen kapal dari Singapura.

“Ejen itu dikesan beroperasi dari darat dengan mengendalikan urusan pelanggan-pelanggan yang berminat menjalankan jual beli minyak kapal ini secara haram.

“Sebuah kapal yang sentiasa berlegar di perairan Pengerang pula dijadikan platform untuk memindahkan minyak dari kapal itu ke mana-mana kapal yang berminat,” katanya kepada Utusan Malaysia secara eksklusif di sini hari ini.

No comments: