MSTAR ONLINE
IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini secara rasminya menyerahkan kunci kediaman Menteri Besar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk terus menyimpan kereta rasmi Toyota Camry walaupun kerajaan negeri telah mengambil semula kesemua kereta 10 bekas Exconya.
Pegawai khas beliau, Amran Harun memberitahu media, Nizar akan menyimpan kereta tersebut sebagai tanda beliau tidak pernah mengalah dalam mempertahankan yang beliau masih Menteri Besar yang sah.
"AJS10 akan disimpan sebagai simbol sementara menunggu keputusan mahkamah.
"Jika mahkamah mendapati Nizar sebagai (Menteri Besar) tidak sah, baru kita akan memulangkan kereta itu," katanya di kediaman rasmi Menteri Besar di sini selepas menyerahkan kunci kediaman itu kepada Ketua Penolong kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Shamshuzaman Sulaiman.
Katanya, Nizar menggunakan Toyota Camry itu untuk menjelajah ke seluruh negeri sejak tiga minggu lalu bagi menerangkan apa yang sebenarnya berlaku apabila Barisan Nasional (BN) mengambil alih kuasa.
"Rakyat tidak mendapat laporan yang betul. Ada yang mengatakan Nizar telah melakukan penderhakaan (terhadap Sultan Perak) tetapi beliau ingin memberitahu bahawa ia bukan sedemikian," katanya.
Ahad lalu, Nizar dan tujuh ahli keluarganya telah mula berpindah daripada kediaman itu ke rumah persendirian yang tidak didedahkan.
Pakatan Rakyat kini sedang menunggu keputusan saman yang difailkan berhubung keputusan Nizar untuk mencabar kesahihan penggantinya, Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan meminta mahkamah untuk mengisytiharkan dirinya sebagai Menteri Besar yang sah.
Berbanding drama yang berlaku di Perak sejak beberapa minggu lalu, acara penyerahan kunci kediaman pada hari ini berlangsung tanpa sebarang kekecohan kira-kira pukul 11.25 pagi tadi.
Shamshuzaman berkata, kerajaan negeri telah mengambil semula 10 Toyota Camry dan lima lagi kereta di kediaman rasmi.
Katanya, kunci itu akan diserahkan kepada Dr Zambry pada bila-bila masa selepas Jabatan Kerja Raya melakukan pemeriksaan di premis tersebut.
Shamshuzaman juga meminta kerjasama Amran untuk mendapatkan semula Toyota Camry itu sambil menambah, surat berhubung hal itu telah pun dihantar kepada Nizar.
Ketika beliau bertanya Amran,"Bagaimana dengan AJS10?"
“AJS10, MB kata tunggu keputusan mahkamah!" jawab Amran.
Nizar memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu bagi mengisytiharkan pelantikan Dr Zambry selaku Menteri Besar Perak 6 Februari lalu sebagai tidak sah.
Kerajaan negeri Perak yang sebelum ini diterajui Pakatan Rakyat jatuh kepada BN selepas tiga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pakatan keluar daripada parti dan menjadi ADUN bebas tetapi menyokong BN.
1 comment:
Nizar boleh serah Toyota Camry AJS10 apabila wujud desakan kuat dariapda orang UMNO/BN hingga ke tahap paksaan atau dari sudut undang-undang berlaku duress dan sertakan surat covering letter tentang penyerahan kereta tersebut yang dibuat berdasarkan wujundnya elemen duress daripada UMNO/BN. Pun begitu, lebih baik jika kereta tersebut dirampas sendiri oleh orang UMNO/BN ditengah jalan seperti gangster tarik kereta sering melakukannya.
Post a Comment