BERITA HARIAN ONLINE
PULAU PINANG: Kesan kegawatan ekonomi yang melanda dunia dijangka dirasai Malaysia sehingga 2010, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang begitu terbuka dalam perdagangan, Malaysia kini berada dalam zon tidak selesa dan kerajaan akan mengambil langkah segera bagi mengurangkan kesan dari kegawatan itu.
"Tiap-tiap hari kita dengar jumlah pemberhentian pekerja semakin meningkat, syarikat yang mengalami aliran tunai dan bankrap juga meningkat seolah-olah kegawatan yang melanda dunia ini tiada penghujungnya.
"Kegawatan dunia sudah semakin mencabar dan kita nampak dari petunjuk-petunjuk itu kemungkinan kegawatan berkenaan tidak akan berakhir tahun ini serta dijangka berlarutan sehingga tahun 2010," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kewangan Mikro Bandar cawangan Georgetown di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Nor Mohamed berkata Kementerian Kewangan sedang mengumpul maklumat dengan berjumpa dan bermesyuarat dengan semua pihak, termasuk swasta, untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, juga sedang bekerja keras mengumpul maklumat itu bagi memastikan bajet mini yang akan dibentangkan pada 10 Mac ini adalah menyeluruh dan menyentuh semua bidang yang penting.
"Kita perlu mendapat maklum balas secara langsung serta tidak langsung dari semua pihak bagi membolehkan kerajaan mengambil langkah tertentu mengatasinya dan setakat ini kita telah dapat banyak maklumat berhubung kegawatan yang sedang melanda," katanya.
Beliau juga mengesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman agama dan politik supaya bersatu menghadapi cabaran itu.
"Kita kena terima realiti, negara kini berada dalam zon tidak selesa serta bahaya dan kita (rakyat Malaysia) terdedah kepada krisis itu. Justeru, kita perlu bersatu menghadapinya kerana cabaran yang sedang melanda ini bukan cabaran biasa," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment