Thursday, December 11, 2008

Pilihan raya kecil: calon Pas ditentukan 21 Disember ini

BERNAMA


KUALA TERENGGANU — Calon Pas yang akan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu akan ditentukan pada 21 Disember ini.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata, pemilihan calon itu akan dibuat selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pas Pusat di sini, pada tarikh tersebut.

“Bagaimanapun kita akan umumkan nama calon pada satu program lain yang akan ditentukan kemudian selepas mesyuarat khas tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan pilihan raya Pas untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu di sini hari ini.

Nasharuddin yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, berkata pada masa ini kesemua 71 cawangan dalam Parlimen berkenaan, diminta mengemukakan senarai calon untuk pilihan raya kecil itu.

Katanya, senarai nama tersebut akan dikemukakan kepada Badan Perhubungan PAS negeri untuk dipertimbangkan sebelum diluluskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat.

“Biasanya, PAS negeri akan mengemukakan tiga nama kepada PAS Pusat untuk mendapat kelulusan bagi pemilihan calon,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan setakat ini, Pas Terengganu belum menerima senarai calon tersebut daripada cawangan-cawangan dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Mengenai kriteria calon yang akan dipilih, beliau berkata: “calon yang boleh memenangkan Pas.” Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa parti itu boleh merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil tersebut, 17 Januari depan berdasarkan kepada senario politik sekarang. Penamaan calon ditetapkan pada 6 Januari.

No comments: